Manage PermissionsManage Permissions

Takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala

Seruan Suci
14/05/2016

seruan suci


MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.


Allah Subhanahu Wata'ala menjadikan manusia itu adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Sebagai seorang hamba Allah kita hendaklah memiliki rasa takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala, di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat menyebutkan tentang takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala, contohnya firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Ahzab ayat 39 yang tafsirnya :


''Nabi-nabi yang terdahulu itu ialah orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah (syariat) Allah dan mereka takut kepada-Nya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapapun melainkan hanya kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pengawas.''


Dari ayat tersebut jelas menunjukkan betapa kita wajib berperasaan takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Dengan memiliki rasa takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala, kita akan memperolehi keberuntungan yang besar apabila mematuhi perintah dan menjauhi larangan-Nya, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Nur ayat 52 yang tafsirnya :


''Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan takut kepada Allah, serta bertakwa kepada-Nya maka mereka itulah orang yang mendapat kejayaan.''


Dalam hubungan takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah tanggungjawab terhadap kehidupan beragama. Jika tanggungjawab itu diabaikan seperti meninggalkan ibadat sembahyang, melakukan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan sebagainya tentulah berakibat buruk. Kesemua itu adalah disebabkan kurangnya rasa takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Memandangkan rasa takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala itu adalah suatu yang sangat penting dalam kehidupan kita maka sudah seharusnya kita menyemai dan menanamkan rasa takut itu ke dalam jiwa dan perasaan kita. Namun bagaimanakah caranya untuk kita menimbulkan perasaan takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala itu? Terdapat beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk berbuat demikian, antaranya ialah :


Pertama : Mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang telah diceritakan dalam Al-Quran dan Al-Hadis tentang perbuatan-perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu yang ingkar dan tidak patuh kepada perintah-Nya, baik yang di terima semasa di dunia mahupun ketika di akhirat kelak. Antaranya sebagaimana diceritakan dalam Surah Al-Ankabut ayat 39 - 40, tafsirnya :


''Dan demikian juga kami telah membinasakan Karun dan Firaun serta Haman, dan demi sesugguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata (mukjizat) tetapi mereka menyombongkan diri di bumi dan mereka tidaklah terlepas daripada kebinasaan itu. Maka masing-masing mereka itu kami binasakan disebabkan dosa mereka. Maka antara mereka ada yang kami hantarkan angin rebut yang mengandungi batu-batu kecil yang membinasakan, dan antara mereka ada yang dibinasakan oleh satu tempikan suara yang kuat, dan antara mereka ada yang kami benamkan ke dalam bumi, dan antara mereka mereka ada yang kami tenggelamkan. Dan Allah sekali-kali tidak menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.''


Kedua : Untuk menimbulkan perasaan takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala, kita hendaklah menyedari dan membayangkan betapa seksa dan pedihnya azab Allah Subhanahu Wata'ala di akhirat sehingga tidak dapat digambarkan betapa dahsyatnya derita yang akan ditanggung kelak. Salah satu gambaran yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tentang betapa dahsyatnya seksa neraka adalah perbandingan panasnya api dunia dengan api di akhirat.


Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis riwayat Al-imam At-Termizi yang maksudnya :


''Dari Abu Hurairah Radhiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Api mu yang kamu semua menyalakan di dunia ini adalah satu bahagian dari 70 bahagian panasnya neraka jahanam. Para sahabat berkata : demi Allah, api di dunia ini saja sudah amat panas YA Rasulullah, Baginda lalu bersabda : memang, api neraka itu masih lebih panas lagi dengan 69 kali bahagian panasnya, setiap bahagian sama suhu panasnya dengan api dunia ini.''


Selain merasa bahang panas dan azab seksa neraka jahanam yang sangat dahsyat itu, orang-orang yang ingkar dan berdosa itu juga akan berada di dalamnya dalam jangka waktu yang berabad-abad lamanya, bahkan ada pula yang kekal di dalamnya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah An-Naba' ayat 21 - 28 yang tafsirnya :


''Sesungguhnya neraka jahanam adalah tempat memerhati bagi penjaga neraka. Tempat kembali bagi orang-orang yang melampaui batas. Mereka tinggal di sana selama-lamanya. Mereka tidak akan merasai udara sejuk di dalamnya dan tidak pula ada minuman. Kecuali air panas yang mendidih dan danur yang mengalir. Sebagai balasan yang setimpal dengan perbuatan buruk mereka. Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak takutkan hisab. Dan mereka telah mendustakan ayat-ayat keterangan kami dengan sebenar-benarnya.''


Jika kita berperasaan takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala pada diri kita sudah tentu akan menggerakkan hati kita untuk berbuat kebaikan. Mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan menolak segala kejahatan, dan bertaubat memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana kita sedar bahawa azab dan seksa Allah Subhanahu Wata'ala itu amat pedih. Dengan itu jika akan berbuat kejahatan pun seperti mencuri, berzina, menipu dalam perniagaan, tidak jujur dalam pekerjaan dan sebagainya, kita akan berfikir panjang, tidak mudah atau segera melakukan kejahatan-kejahatan itu. Dan perasaan takut itu akan mendorong kita menghindarinya. Dan juga terlanjur mengikut hawa nafsu berbuat jahat maka kita segera bertaubat, menyesali keterlanjuran itu. Kerana kita percaya Allah Subhanahu Wata'ala melihat apa jua yang kita lakukan dan percaya setiap perbuatan dosa dan maksiat akan mendapat azab seksa dari Allah Subhanahu Wata'ala. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Insan ayat 10 - 11, tafsirnya :


''Sesungguhnya kami takut akan azab tuhan kami pada hari orang berwajah masam penuh kesukaran. Maka Allah menyelamatkan daripada kesengsaraan hari itu dan mengurniakan mereka keceriaan dan kegembiraan.''


Dan seterusnya kita juga percaya sambil berharap akan mendapat keampunan serta pahala dengan dengan menaruh perasaan takutkan kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala dalam setiap keadaan dan tempat.


Surah Al-Mulk ayat 12, tafsirnya :


''Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada tuhan walaupun mereka tidak melihatnya, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.''


Attachments