Pahala, rezeki hebat untuk bekalan akhirat





Oleh : Dk. Naqayatul Akma Pg. Haji Ali / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit



BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Mac. - Ramadan adalah bulan istimewa, yang menguji kesabaran kita untuk berpuasa selama sebulan. Ganjaran beribadat dalam bulan Ramadan, melebihi ganjaran beribadat di dalam bulan-bulan yang lain.


Menurut sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, bahawa satu fardu yang ditunaikan pada bulan Ramadan adalah umpama menunaikan 70 fardu pada bulan-bulan yang lain. Demikian, betapa hebatnya penghormatan Allah Subhanahu Wata'ala terhadap bulan Ramadan.


Perkara tersebut dinyatakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Perutusan sempena Menyambut Awal Bulan Ramadan Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi, hari ini, di Istana Nurul Iman.


“Alhamdulillah, kita di negara ini mempunyai peluang amat luas untuk merebut fadilat Ramadan. Dengan keadaan negara aman dan ekonomi mantap, akan membolehkan kita untuk menghayati Ramadan dengan lebih selesa.


“Ini adalah kurnia istimewa kepada kita dan negara, berbanding di setengah-setengah tempat di dunia, mereka bergelut dengan pelbagai musibah, seperti peperangan, gempa bumi, banjir besar yang menjejaskan harta benda dan nyawa," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga bertitah untuk membayangkan bagaimana umat Islam berpuasa sambil menghadapi kemelut peperangan, musibah gempa dan banjir besar. Kita, jelas baginda, cuma mampu membayangkannya sahaja sambil bersimpati dan berdoa untuk mereka.


Terdahulu, baginda sukacita mengajak seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam untuk sama-sama merafakkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat-Nya menemukan kita lagi dengan bulan Ramadan yang Mubarak, yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.


“Berbalik lagi kepada keadaan negara kita. Jutaan syukur kita rafakkan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, kerana ancaman koronavirus telah pun semakin menipis dan sekatan juga dilonggarkan.


“Ini juga adalah satu rahmat yang membolehkan kita dapat memeriahkan masjid dengan sembahyang-sembahyang fardu, bertadarus Al-Quran dan Sembahyang Sunat Tarawih tanpa sekatan," titah baginda lagi.


Seyogia rahmat ini, titah baginda, janganlah diabaikan untuk kita dapat meraih lebih banyak pahala. Pahala adalah rezeki hebat untuk kita jawat di akhirat nanti.


Justeru, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengajak kita sama-sama berharap semoga rahmat Allah ini akan berpanjangan hendaknya untuk kita dapat menunaikan kewajipan berpuasa sebulan penuh dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera.


Demikian juga diharapkan untuk kita mendapat Lailatulqadar yang penuh berkat yang hanya berlaku dalam bulan Ramadan sahaja.


Bagi tujuan ini, titah baginda lagi, kita perlulah mengikut panduan-panduan yang telah digariskan oleh ulama, seperti menghidupkan 10 malam-malam terakhir di bulan Ramadan dan lain-lain yang berkaitan dengannya.


Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala tidak akan menghampakan kita dari memperolehi pahala Lailatulqadar itu.


Sebelum mengakhiri titah, baginda dan keluarga, sukacita mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di negara ini, semoga kita sama-sama dapat menunaikan kewajipan berpuasa tanpa sebarang halangan atau gangguan.


Close