Manage PermissionsManage Permissions

Rakyat menunggu acara ulang tahun keputeraan Kebawah DYMM



Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Masri Osman

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 Mei. - Acara-acara  Sambutan Perayaan Ulang Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah suatu acara yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat dan penduduk di daerah-daerah pada menjunjung keberangkatan Kebawah DYMM pada menzahirkan rasa taat setia yang tidak berbelah bahagi seluruh rakyat dan penduduk negara ini ke hadapan majlis Kebawah DYMM.

 

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-72 dalam sembah alu-aluannya berucap demikian semasa mesyuarat berkenaan, bertempat di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini.

 

Terdahulu itu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih dan penghargaan di atas keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di JPM ke Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun bagi Tahun 2018 dan seterusnya akan mengurniakan sabda.

 

Yang Berhormat seterusnya menyembahkan bahawa, sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah akan menjadi panduan dalam merancang, menyusun dan membisaikan lagi persediaan dan persiapan acara-acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun pada tahun ini.

 

''Disembahkan bahawa keberangkatan Duli Tuanku ke mesyuarat pada pagi ini jelas membuktikan keprihatinan, pemedulian serta komitmen Duli Tuanku selaku Penaung Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun bagi Tahun 2018 terhadap peranan dan tugas Jawatankuasa ini,'' sembah Yang Berhormat.

 

Ini lebih-lebih lagi sembah Yang Berhormat, mengenai dengan persediaan dan persiapan atur cara-atur cara yang telah dan akan diungkayahkan sama ada oleh Jawatankuasa di Peringkat Kebangsaan mahupun Jawatankuasa di Peringkat Daerah, terutama sekali acara kemuncak di daerah-daerah, iaitu Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di keempat daerah.

 

Sembah Yang Berhormat lagi, mesyuarat juga akan mendengarkan laporan perkembangan persediaan dan persiapan dan seterusnya juga akan membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam termasuklah perkara-perkara yang mungkin berbangkit mengenainya sebagaimana juga dalam agenda.

 

''Pada mengakhiri sembah alu-aluan hamba duli tuanku ini, sekali lagi hamba duli tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Tuanku ke mesyuarat pada pagi ini dan abis hamba duli tuanku akan sentiasa bersedia menjunjung apa jua sabda nasihat dan pandangan Duli Tuanku di mesyuarat ini,'' sembah Yang Berhomat lagi.



Close