Manage PermissionsManage Permissions

Amalkan, pelihara tahap disiplin



Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin




 

BERAKAS, Selasa, 15 Mei. - Orang ramai tidak sahaja menaruh kepercayaan pada kebolehan dan kecekapan Anggota-anggota Bomba dan Penyelamat, bahkan mereka hargai khidmat bakti Pasukan Pertahanan Awam itu.

 

Oleh itu, adalah penting bagi semua warga Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengamalkan dan memelihara tahap disiplin yang tinggi, mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang berjalan, bersikap jujur dan amanah serta mengamalkan nilai-nilai konsep Melayu Islam Beraja.

 

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika berucap selaku tetamu kehormat pada Upacara Perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat Kali Ke-58 Tahun 2018 yang berlangsung di Padang Kawad, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Berakas, di sini.

 

Dalam menghadapi cabaran-cabaran kemajuan dan pembangunan pada masa ini, Yang Berhormat seterusnya menegaskan, Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat perlulah bersiap siaga pada setiap masa bagi melengkapkan diri dengan kemajuan ilmu pengetahuan serta kemahiran-kemahiran supaya dapat menangani apa jua cabaran yang dibawa oleh kemajuan termasuk kemajuan teknologi.

 

Majlis diisikan dengan tetamu kehormat memeriksa barisan, diikuti dengan perbarisan mara ke hadapan untuk diperhati semula. Penyampaian Anugerah Anggota dan Kakitangan Contoh kepada 51 penerima yang dinilai daripada pelbagai sudut berdasarkan kriteria seperti kelamaan perkhidmatan bekerja, pretasi tiga tahun kebelakangan, tugas-tugas utama yang dilaksanakan, penglibatan (kegiatan luar dan dalam jabatan), ciri-ciri kepimpinan, displin, tindakan tatatertib, kehadiran bertugas, berkebolehan berkomunikasi dalam dan luar jabatan serta penampilan diri.

 

Manakala itu, bagi Penyampaian Anugerah Penghargaan Masyarakat Berjasa kepada seramai 15 penerima terdiri daripada awam, jabatan-jabatan kerajaan, sekolah kerajaan dan syarikat swasta menerima sijil dan plak penghargaan masing-masing. Penerima-penerima anugerah tersebut menunjukkan sikap peka, bertanggungjawab dan berguna kepada masyarakat.

 

Juga hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal dalam Negeri serta Ketua Kampung Mukim Berakas 'A' serta jemputan khas.



Close