Manage PermissionsManage Permissions

Kebawah DYMM dianugerahkan Golden Medal of ISESCO



​Oleh : Aimi Sani / Foto : Hamzah Mohidin





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Director - General of the Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Tuan Yang Terutama Dr. Abdulaziz Othman Altwaijri.


Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.


Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam disembahkan dengan anugerah Golden Medal of ISESCO oleh Tuan Yang Terutama Director - General ISESCO sebagai pengiktirafan sokongan dan komitmen Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Negara Brunei Darussalam kepada pertubuhan ISESCO dalam pembangunan pendidikan, sains dan kebudayaan di negara-negara Islam.


Golden Medal of ISESCO merupakan penganugerahan tertinggi yang diberikan oleh ISESCO kepada ketua negara.


Menyertai rombongan Tuan Yang Terutama ialah Director of External Relations and Cooperation, ISESCO, Tuan Yang Terutama Dr. Ahmad Said Bah.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.


ISESCO adalah salah satu pertubuhan antarabangsa yang berperanan dalam membentuk kerjasama dalam kalangan negara-negara Islam khususnya dalam bidang pendidikan, sains, dan kebudayaan.


Tuan Yang Terutama dan rombongan berada di negara ini bagi rangka lawatan kerja selama empat hari.



Close