Manage PermissionsManage Permissions

Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Polo



​Oleh : Rohani Haji Abd Hamid / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali





JERUDONG, Selasa, 10 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Polo bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan  Baginda  Ke-72 Tahun Bagi Tahun 2018.


Berangkat sama ke Royal Brunei Polo and Riding Club ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.


Dalam perlawanan tersebut, pasukan Brunei Darussalam dibarisi oleh paduka-paduka anakanda Kebawah DYMM iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan diketuai oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah dan telah berjaya menumpaskan pasukan Pakistan dengan mata 10 - 4 dalam empat chaka.


Turut menguatkan pasukan Brunei Darussalam ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.


Kebawah DYMM kemudian berkenan menerima pesambah dari Presiden Persatuan Royal Selangor, Dato Haji Mohamed Moiz bin Jabir Mohd. Ali Moiz.


Terdahulu, pasukan Singapura mengalahkan pasukan Malaysia dengan kiraan 6 - 5 dalam empat chaka.


Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Polo Diraja Brunei ini bermula hari ini dan akan berakhir pada Jumaat, 13 Julai.



Close