Manage PermissionsManage Permissions

Menteri Pembangunan hadiri SIWW di Singapura



​Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pembangunan

 

 



REPUBLIK SINGAPURA, Selasa, 10 Julai. - Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar kini berada di Republik Singapura bagi menghadiri Singapore International Water Week (SIWW) yang berlangsung mulai 8 hingga 12 Julai 2018.

 

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Haji Zakaria serta pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Air juga Jabatan Saliran dan Pembetungan.

 

Sebelum upacara pembukaan rasmi SIWW, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menghadiri perjumpaan dua hala secara berasingan bersama Menteri Pembangunan Negara, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli pada 8 Julai lalu.

 

Pada perjumpaan dua hala bersama Tuan Yang Terutama Menteri Pembangunan Negara, Republik Singapura, kedua-dua menteri membincangkan mengenai isu-isu perancangan guna tanah, perumahan awam dan perkara-perkara berkaitan dengan penggunaan tanah serta peluang mengadakan program-program pertukaran di antara dua negara dalam masa terdekat.

 

Kementerian Pembangunan dan Kementerian Pembangunan Negara, Republik Singapura menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun 2015 untuk menggalakkan pertukaran maklumat dan kerjasama di antara kedua-dua agensi kerajaan.

 

Manakala perjumpaan dua hala bersama TYT Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, kedua-dua menteri membincangkan pandangan mengenai alam sekitar dan isu-isu air yang mempunyai kepentingan bersama juga mengemas kini kemajuan dalam bidang-bidang usaha sama, iaitu pemantauan kualiti udara, pengurusan sumber air dan pertukaran belia alam sekitar.

 

Di bawah rangka kerja MoU kerjasama dua hala dalam hal ehwal alam sekitar di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, mesyuarat dan pertukaran program alam sekitar merangkumi pengurusan sisa pepejal, kualiti udara, pengurusan sumber air dan pendidikan alam sekitar yang diadakan pada setiap tahun.

 

TYT Menteri Pembangunan Negara diiringi oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Pembangunan Negara, manakala TYT Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air diiringi oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan juga Public Utilities Board (PUB), Agensi Air Negara Singapura.

 


Close