Manage PermissionsManage Permissions

Warga emas aset bernilai pada negara



​Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin.

 



 

TUTONG, Selasa, 10 Julai. - Warga emas amat kaya dengan pengalaman dan sumber pengetahuan yang dapat dimanfaatkan oleh generasi muda sebagai panduan cara hidup.

 

Mereka merupakan aset yang sungguh bernilai dalam menyumbangkan buah fikiran dan tenaga ke arah pembangunan negara dengan pengetahuan serta pengalaman yang sedia ada.

 

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Sambutan Hari Raya Aidilfitri sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama Penubuhan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong Tahun 1439H / 2018M di Dewan Serbaguna, Serambangun, Tutong, di sini.

 

Memang sumbangan warga emas kepada masyarakat amat diperlukan, oleh itu, Yang Berhormat menyeru kepada semua warga emas untuk sentiasa menabur bakti demi meraih yang terbaik untuk bangsa dan negara.

 

"Saya amat yakin pusat ini dapat menjadi penanda aras dan juga 'role model' bagi mana-mana pertubuhan dan pergerakan dalam mengendalikan projek-projek, terutamanya projek yang melibatkan warga emas.

 

Saya percaya, ini adalah satu langkah ke hadapan ke arah pencapaian satu aspirasi Wawasan Negara 2035, iaitu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk negara ini," ujar Yang Berhormat Menteri.

 

Atur Cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dibacakan oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Sahibul Omar bin Haji Mohd. Yussof dan diserikan lagi dengan persembahan-persembahan pentas oleh Ahli-ahli PKWE, Tutong.

 

Majlis juga diserikan lagi dengan cabutan nombor bertuah dan sesi ramah mesra hari raya bersama tetamu kehormat juga bergambar ramai.

 

Juga hadir pada majlis tersebut ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara Daerah Tutong, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong dan Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit dan Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Awang Goh King Chin.



Close