Manage PermissionsManage Permissions

Belia pemangkin merubah masa depan



‚ÄčOleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Azmah Haji Ahad

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 9 Ogos. - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, berkata para belia memainkan peranan yang penting sebagai pemangkin yang mampu merubah masa depan.

 

Yang Berhormat semasa berucap dalam Majlis Penutup Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (BYLC) 2018 yang berlangsung di Goldstone Ballroom, Centrepoint Hotel, Gadong seterusnya menjelaskan, suara para belia adalah penting untuk digerakkan ke arah Wawasan Negara 2035.

 

BYLC jelas Yang Berhormat, merupakan platform yang memberikan para belia asas melalui kaedah mentor dengan memberikan mereka idea-idea, nasihat dan sebagainya.

 

Ujar Yang Berhormat lagi, Wawasan Negara 2035 juga dikongsikan bersama para belia agar mereka lebih memahami dengan lebih lanjut apa peranan mereka dan apa yang perlu mereka lakukan.

 

Para belia tekannya, mampu untuk menggerakkan negara dan negara bergantung kepada mereka.

 

Tegasnya lagi, para belia sepatutnya bertanya apa yang perlu negara lakukan untuk mereka, tetapi apa yang mereka boleh lakukan untuk negara ini.

 

Seramai 200 belia menyertai konvensyen tersebut yang dianjurkan oleh Al-Huffaz Management dan Generasi Bekarih dan diketuai Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

 

BYLC 2018 antara lain bertujuan untuk menjayakan Wawasan Brunei 2035 dengan menyampaikan maklumat yang tepat juga terkini mengenai Wawasan Brunei 2035 dan menyatukan agensi-agensi yang berkepentingan dalam pembangunan belia.

 

Selain itu, ia juga memberikan platform kepada para peserta melaksanakan projek atau program yang mampu mendukung untuk mencapai hasrat Wawasan Brunei 2035.

 

Para peserta juga berpeluang untuk menghadiri forum, berinteraksi, membina rangkaian serta bekerjasama dengan mentor yang dilantik, terdiri daripada belia-belia berpengalaman yang menyumbang pada pembangunan negara dan Wawasan Brunei 2035.

 

Juga hadir pada majlis penutup tersebut ialah Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii dan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari serta Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.


Close