Manage PermissionsManage Permissions

Tingkatkan keyakinan, bina kepimpinan belia



​Berita dan Foto : Ihsan Dynamic Action Group




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 9 Ogos. - Seramai 62 pelajar IBTE Kampus Bisnes mengikuti Program Belia Hebat Kedua Bagi Tahun 2018 yang diungkayahkan oleh Dynamic Action Group (DAG).


Program kali ini mengongsikan pengalaman dan saranan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari dalam bidang kesukarelawanan dan kemayarakatan.


Di samping itu, program kali ini turut mengetengahkan usahawan belia yang telah berjaya dalam bidang bisnes iaitu Coverd By Annisa yang turut mengongsikan cabaran dalam dunia bisnes fesyen pakaian Muslimah.


Program Belia Hebat turut berkolaborasi bersama The Strayholders.


Antara tujuan program diadakan adalah untuk menerapkan kemahiran kepimpinan sekali gus mempersiapkan peserta dari aspek mental dan fizikal menjadi belia hebat.


Program berkenaan juga diharap dapat memberikan peluang kepada peserta untuk lebih mengenali kelebihan diri masing-masing dan seterusnya mampu untuk menggunakannya dengan cara yang lebih efektif.


Program Belia Hebat merupakan projek khidmat masyarakat yang diungkayahkan oleh DAG yang terdiri daripada tujuh pegawai muda kerajaan yang berkaliber daripada pelbagai kementerian dan jabatan yang pada ketika ini sedang mengikuti Program Eksekutif Muda (Young Executive Programme), Civil Service Leadership Pipeline di bawah kelolaan Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri.


Program tersebut yang merupakan kesinambungan program yang telah diadakan tahun lalu juga  telah tercalon sebagai penerima Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan Tahun 2017.


Sebelumnya program telah diadakan di Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan akan dilaratkan ke institusi pengajian tinggi yang lainnya pada masa akan datang.


DAG dalam usaha untuk berkongsi ilmu dan membantu belia-belia Brunei terutama dalam meningkatkan keupayaan dan potensi diri belia-belia akan terus giat aktif mengadakan Program Belia Hebat pada masa akan datang.



Close