Manage PermissionsManage Permissions

HSSB sambut Minggu PSI Sedunia



​Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed

 



 

KUALA BELAIT, Khamis, 9 Ogos. - Pelbagai sektor digalakkan untuk bekerjasama dalam melindungi, mempromosi dan menyokong amalan Penyusuan Susu Ibu (PSI) demi meraih kebaikan bersama serta membuahkan hasil yang mampan dengan impak yang jauh lebih besar daripada usaha seseorang individu.

 

Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Kuala Belait mengadakan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia di Kawasan Lobi, Pusat Pembelajaran dan Perkembangan, hospital tersebut.

 

Tema Sambutan Minggu PSI Sedunia bagi Tahun 2018 ialah 'Penyusuan Susu Ibu : Asas Kehidupan' (Breasfeeding : The Foundation of Life).

 

Ia menekankan kepentingan penyusuan susu ibu sebagai amalan mapan dan sihat untuk memastikan setiap anak mempunyai permulaan terbaik dalam kehidupan.

 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah isteri Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Datin Dr. Hajah Norhaslina binti Haji Ramlee.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan Surah Al-Quran daripada penuntut Sekolah Arab Belait.

 

Kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif, selaku Pengerusi Bersama Majlis, diikuti dengan Penyampaian Sijil Lantikan, Sijil dan Plak Penghargaan kepada kumpulan HAWA.

 

Penyampaian cenderamata juga diberikan kepada ibu-ibu yang berjaya memberikan PSI kepada anak damit mereka secara eksklusif.

 

Penyampaian 'nursing cover' kepada ibu-ibu mengandung dan perkongsian pengalaman daripada Pengetua kumpulan HAWA, Dr. Masmunira binti Haji Rambli juga diadakan pada majlis tersebut.

 

Antara lain beliau menyentuh mengenai Kumpulan HAWA yang ditubuhkan pada tahun 2012 sempena Sambutan 40 Tahun Perkhidmatan HSSB, Kuala Belait dan setelah mendapat sokongan daripada Mantan Menteri Kesihatan terdahulu dan menandatangani plak sempena penubuhan kumpulan berkenaan.

 

Matlamat utama kumpulan sokongan yang ditubuhkan itu bertujuan untuk bekerjasama dengan pihak HSSB, khususnya Unit Ibu Mengandung dan Bersalin dalam mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat di Daerah Belait terhadap kepentingan dalam memberikan susu ibu kepada anak damit mereka terutama dalam kalangan ibu-ibu.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengarah-pengarah, pegawai-pegawai dan kakitangan di HSSB, Kuala Belait.



Close