Manage PermissionsManage Permissions

Berangkat rasmikan Pesta Konvo Kelima UTB



​Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Masri Osman





TUNGKU, Khamis, 13 September. - Universiti Teknologi Brunei (UTB) sekali lagi akan melahirkan graduan-graduan baharu sempena Majlis Konvokesyennya tahun ini, yang bakal menjadi peneraju dan menyumbang kepada pembangunan negara menuju Wawasan Brunei 2035.


Seperti lazimnya, setiap tahun Pesta Konvo diadakan bagi meraikan para pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka dan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing di Majlis Konvokesyen UTB hujung bulan ini.


Berangkat merasmikan Pesta Konvo Kelima 2018 UTB ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Pro-Canselor UTB.


Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke UTB dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman selaku Pengerusi Majlis UTB serta Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.


Turut hadir pada Majlis Perasmian Pesta Konvo tersebut adalah Ahli-ahli Majlis UTB, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi, Duta-duta, Pegawai-pegawai Kanan kerajaan, staf dan pelajar UTB.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.


DYTM kemudian berkenan mengurniakan sabda perasmian pesta berkenaan disusuli dengan laungan takbir dan tayangan multimedia dan juga berkenan melancarkan Kompleks Sekolah Reka Bentuk, yang menampung pelajar-pelajar dari Sekolah Reka Bentuk, yang pada masa ini menawarkan dua program baharu Sarjana Muda di dalam jurusan Seni Bina dan Rekaan Produk.


DYTM seterusnya dijunjung melawat The University Shop, iaitu sebuah kedai yang menawarkan pelbagai barangan universiti yang memaparkan maskot utama UTB iaitu Awang Jubli bin Emas (A.J.).


Dari The University Shop, DYTM  berkenan berangkat menyaksikan pameran Pesta Konvo bertemakan 'π3ES' dan mengandungi enam komponen utama: Pious (Beriman), Professional (Berprofesionalisme), Passionate (Beriltizam), Innovative (Berinovasi), Engaging (Berdaya keterlibatan) dan Scholarly (Berilmu).


Seperti tahun sebelumnya, tema Pesta Konvo kali ini juga memaparkan inisiatif-inisiatif dan aktiviti-aktiviti para mahasiswa, mahasiswi, bakal graduan dan juga UTB secara keseluruhan yang menjurus kepada nilai-nilai tersebut.


DYTM  dijunjung menyaksikan pameran Robotik yang diberi nama The Garden of Robotics. Pameran ini menunjukkan beberapa buah projek robotik termasuk Reka Bentuk dan Teknologi dalam Pencetakan 3D, ianya menunjukkan cara-cara produk-produk 3D direka, dimodelkan dan dibentuk menggunakan pencetak 3D.


Selesai menyaksikan pameran, DYTM berkenan bergambar ramai bersama beberapa orang wakil pelajar UTB dan juga menerima pesambah daripada Majlis Perwakilan Pelajar UTB.


Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra dengan para pelajar UTB.


Beberapa acara telah disusun bersempena dengan Pesta Konvo UTB 2018 iaitu: Majlis Khatam Al-Quran, UTB Biggest Heroes, EKK Open Week, Pertandingan Boling, UTB Leadership Programme, UTB Library Book Bazaar, Book Charity Donation and Adoption, UTB Film Festival, Mental Health Awareness Campaign, International Day of Peace, dan UTB Run & Cycle.


Majlis Konvokesyen 2018 UTB akan diadakan pada Sabtu, 29 September 2018 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa.



Close