Manage PermissionsManage Permissions

Pesta Konvo UTB pamerkan enam komponen utama



​Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Masri Osman





TUNGKU, Khamis, 13 September. – Pameran Pesta Konvo Kelima 2018 Universiti Teknologi Brunei (UTB) kali ini mengetengahkan tema 'π3ES' yang mengandungi enam komponen utama: Pious (Beriman), Profesional (Berprofesionalisme), Passionate (Beriltizam), Innovative (Berinovasi), Engaging (Berdaya keterlibatan) dan Scholarly (Berilmu).


Singkatan 'π3ES' berasal dari: Pious, Professional, Passionate, Innovative, Engaging, Scholarly.


Simbol dan nilai 'π ' digunakan secara meluas dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Tema ini telah dipilih dengan tujuan untuk mengetengahkan enam nilai-nilai yang perlu dihayati dan dipraktikkan oleh setiap warga universiti, bagi mencapai visi keseluruhan, iaitu untuk menjadi sebuah universiti yang memberikan impak kepada masyarakat.


Enam nilai penting tersebut ialah Beriman (Pious), Berprofesionalisme (Professional), Beriltizam (Passionate), Berinovasi (Innovative), Berdaya keterlibatan (Engaging) dan Berilmu (Scholarly).


Komponen pertama pameran – Pious (Beriman), membawa maksud warga UTB akan menerapkan dan memupuk nilai-nilai falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), dengan aspirasi untuk menegakkan akidah ugama Islam dan semangat kenegaraan secara jujur dan komited, serta mengekalkan nilai-nilai murni, keperibadian berdisiplin dan berbudaya sebagai amalan seharian dengan petunjuk Allah Subhanahu Wata'ala.


Pameran ini menunjukkan inisiatif para mahasiswa / mahasiswi dan graduan UTB dalam menjalani kehidupan pembelajaran di kampus dan kehidupan seharian mereka berdasarkan MIB. Projek yang dipamerkan berbentuk e-Book telah dihasilkan. e-Book tersebut mengandungi kumpulan doa-doa bagi warga UTB. Selain daripada itu aplikasi mudah alih seperti Bru Tausyeh dan juga Masjidku turut dipamerkan.


Sebuah komik yang membawa watak Noh hasil karya seni Dr. Malai Yunus bin Malai Yusof, salah seorang pensyarah dari Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran juga turut dipamerkan, di mana karakter Noh di dalam komik tersebut mempunyai nilai-nilai MIB.


Komponen kedua pameran - Professional (Berprofesionalisme), pula melambangkan suatu nilai UTB yang mana setiap warga UTB akan mengikut kod etika sebagai landasan untuk mengawal tindak tanduk dalam semua hal ehwal urusannya, termasuk memberikan perkhidmatan yang profesional dalam kesemua aspek pekerjaan.


Pameran ini mengetengahkan strategi UTB dalam meningkatkan tahap profesionalisme para pelajar dan graduan melalui program-program akademik yang diiktiraf dan penglibatan pelajar dengan badan-badan profesional.


Pameran tersebut juga mempamerkan aktiviti-aktiviti mahasiswa / mahasiswi UTB yang mana mereka mula mendapat pendedahan awal kepada dunia profesional melalui interaksi dalam badan-badan profesional dan telah menubuhkan Student Chapter masing-masing di UTB, termasuk IET-Student on Campus, SPE-UTB Student Chapter, PUJA-UTB Student Chapter, IchemE-UTB Student Chapter dan ImechE-UTB Student Chapter.


Sementara itu, komponen ketiga - Passionate (Beriltizam), membawa maksud warga UTB juga harus tampil dengan mempunyai dorongan semangat dan komitmen yang konsisten, demi merealisasikan misi dan visi UTB melalui keazaman yang kuat dan budaya kecemerlangan.


Pesta Konvo juga mempamerkan projek-projek bakal graduan ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama yang beriltizam, yang antaranya termasuk Gamification of Learning Management System dari Program Pengkomputeran Kreatif, Crime Record Management and Analysis using GIS dari Program Sistem Pengkomputeran, Production of 500MTD Methanol via Coal Gasification dari Fakulti Kejuruteraan, Self-Trackamdari Program Pengkomputeran Kreatif dan Cylisthub dari Program Sistem Pengkomputeran.


Komponen keempat pameran - Innovative (Berinovasi), pula menunjukkan kebolehan warga UTB dalam menghidupkan idea-idea kreatif, yang mampu menghasilkan peningkatan prestasi dan nilai tambah yang diingini untuk berkembang melalui kecekapan, kualiti dan produktiviti.


Pembudayaan daya inovasi juga dapat mengoptimakan penggunaan sumber yang sedia ada, menerajui bidang penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, dan meningkatkan kecekapan dalam operasi. Projek-projek inovatif yang dipamerkan termasuk IoT Based Solar Powered Car Interior Cooling and Monitoring System, CheckMate: An Artificially Intelligent System for Assisting in Diagnosis of Minor Illnesses, Effectiveness of I-Centre dan Measuring the factors affecting entrepreneurial intention amongst UTB School of Business Students.


Komponen pameran seterusnya adalah Engaging (Berdaya keterlibatan), yang mana ia menunjukkan hasrat UTB untuk mewujudkan dan memupuk hubungan yang membangun dengan semua pihak berkepentingan melalui komunikasi yang berterusan dan saling mendokong.


Nilai daya keterlibatan ini mampu menghasilkan hubungan yang kukuh dan mampan dengan pihak berkepentingan menerusi 'quadruple helix engagement'.


Pameran itu memperlihatkan penglibatan UTB dengan industri dan pendidikan dalam pelbagai tahap, serta sektor kerajaan dan awam yang turut menerangkan sebahagian usaha UTB dalam mewujudkan dan memupuk hubungan yang dinamik dengan semua pihak berkepentingan, menerusi 'quadruple helix engagement'.


Antara pihak-pihak tersebut adalah Sesame World Technology STI Lab; Oil and Gas Discovery Centre (OGDC); dan Kementerian Perhubungan. Selain itu, Ahli Majlis Pelajar UTB turut mempamerkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam penglibatan masyarakat, seperti kegiatan-kegiatan sukarelawan.


Dan komponen yang akhir sekali adalah 'Scholarly' yang bermaksud Berilmu, ini membawa hasrat UTB untuk menjadi sebuah universiti yang berdedikasi dalam menyebarkan ilmu pengetahuan melalui pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan inovasi yang berkualiti tinggi.


Demi melahirkan mahasiswa, mahasiswi dan graduan yang berilmu ini, UTB menggalakkan gaya pembelajaran secara mandiri dan seterusnya membangun masyarakat yang berpengetahuan bagi mencapai matlamat dalam Wawasan Brunei 2035.


Pameran mempamerkan projek-projek terpilih oleh para bakal graduan peringkat sarjana, yang mana di antara projek yang dipamerkan adalah Assessment of Water Quality in Brunei River Catchment, Analysis of Scouring Effects on Bridge Piers dan Review of Design Guidelines on Slope in Brunei Darussalam.


Satu lagi pameran yang diadakan sempena Pesta Konvo Kelima UTB ialah pameran Robotik, yang diberi nama The Garden of Robotics. Pameran tersebut menunjukkan beberapa buah projek robotik, termasuk Reka Bentuk dan Teknologi dalam Pencetakan 3D, ianya menunjukkan cara-cara produk-produk 3D direka, dimodelkan dan dibentuk menggunakan pencetak 3D.


Selain daripada itu, Projek Cost Effective Line Following Robot for Hospital Delivery juga turut dipamerkan, yang mana projek ini menunjukkan cara pengangkutan bahan-bahan dengan cara kos efektif. Prosthetic Hand and Task-Based Control-Based Analysis juga turut dipamerkan. Projek ini memperlihatkan pembuatan Prosthetic Hand menggunakan pencetak 3D.



Close