Manage PermissionsManage Permissions

Kekalkan imej perkhemahan tentera yang kredibel



‚ÄčOleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Hamzah Mohidin





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 September. - Para pegawai dan kakitangan Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja (JPPK) di semua perkhemahan, diseru supaya akan dapat memahami dan seterusnya melaksanakan langkah-langkah dalam Pelan Pengurusan JPPK, ke arah mempersiapkan diri untuk transformasi atau berhijrah ke arah organisasi yang lebih dinamik dan berpotensi, dalam mengekalkan imej perkhemahan-perkhemahan tentera yang kredibel, dipandang tinggi dan bebas daripada pencemaran, dalam pada masa yang sama membolehkan pelaksanaan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.


Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof membuat seruan tersebut semasa berucap pada Majlis Pelancaran Buku Pelan Pengurusan JPPK dan Penyampaian Sijil Pengurusan Kualiti ISO 9001: 2015 kepada JPPK, di Dewan Wira Seni, Bangunan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Bolkiah Garison, di sini.


Yang Berhormat turut menjelaskan bahawa bangunan Kementerian Pertahanan kini telah berusia 10 tahun pada 13 Ogos 2018 yang lalu, di mana perasmian bangunan kementerian ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi ABDB pada 13 Ogos 2008.


Dalam hal ini, tegas Yang Berhormat, ternyata JPPK berperanan besar di dalam pembangunan dan pemeliharaannya, begitu juga halnya berperanan secara langsung ataupun tidak langsung kepada kementerian ini amnya dan amatlah sukar untuk dikira daripada sudut kuantitatif dan kualitatif.

 

Dalam konteks ini tambahnya, salah satu daripada usaha Jabatanarah adalah memperkenalkan perkhidmatan 'Facilitites Management' (FM), yang berkualiti sejak Mei 2009 dalam melaksanakan perancangan dan pemeliharaan pelbagai prasarana dan infrastruktur di perkhemahan-perkhemahan ABDB, bagi kebajikan dan kesejahteraan kita bersama.


''Tidak dapat dinafikan bahawa daripada usaha-usaha berkenaan telahpun banyak mencetuskan semangat kerjasama serta memupuk perpaduan dan keharmonian di seluruh lapisan warga Kementerian Pertahanan dan ABDB,'' ujarnya.



Close