Manage PermissionsManage Permissions

JPM semarak sambutan Awal Tahun Hijrah



​Oleh : Khartini Hamir / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah





BANDAR SERI BEGAWAN, 13 September. – Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun 1440 Hijrah, bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri.


Majlis tersebut dikendalikan bersama oleh Biro Kawalan Narkotik dan Sekretariat Jawatankuasa Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM).


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.


Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-ketua Jabatan dan warga JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Abdul Malik bin Haji Jumat.


Sejurus itu acara diteruskan dengan bacaan zikir istighfar dan selawat beramai-ramai.


Kemuncak acara ialah Ceramah Khas bertajuk 'Hijrah: Satu Kehebatan' yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Haji Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.


Dalam ceramahnya beliau antara lain menyentuh mengenai pelbagai keadaan hijrah, antaranya ialah hijrah kepada rajin membaca Al-Quran, yang mana dengan membaca Al-Quran itu akan dapat membantu menyelesaikan masalah yang ada pada diri kita sendiri, dengan memohon doa dan petunjuk dari Allah Subhanahu Wata'ala.


Di samping itu, hijrah juga boleh dalam keadaan rajin bersedekah, bagi menunjukkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas rezeki yang diberikan, selain dalam bersedekah itu adalah disarankan untuk disertai dengan doa kepada Allah dengan berniat dan meminta apa yang dihajati itu dengan ikhlas.


"Hijrah juga boleh termasuk dalam mengikhlaskan hati dalam beribadah, membersihkan hati dari segala sifat-sifat tercela, hasad dengki, syak wasangka yang buruk dan sebagainya," jelas beliau lagi.


Sebelum mengakhiri ceramahnya, Awang Haji Khairul Nazif juga turut menyentuh dan menyarankan kepada semua hadirin untuk sama-sama muhasabah diri, terutama dalam melakukan amalan bakti kepada kedua orang tua yang masih hidup.


"Berapa ramaikah di kalangan kita yang sering ingat kedua ibu bapa kitani, yang sering melawat kedua orang tua kita yang masih hidup atau berapa kerapkah berziarah ke pusara kedua orang tua atau salah seorang orang tua kita yang sudah meninggal dunia," ujarnya.


Dari itu, hijrah dalam melakukan amal bakti terhadap kedua orang tua adalah sangat-sangat dituntut, sering mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kedua ibu bapa di dunia dan akhirat, serta rajin berkunjung melawat mereka, mahupun sering berziarah ke pusara mereka yang telah pergi dan memohon doa kepada Allah Subhanahu Wata'ala.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Abdul Malik bin Haji Jumat.


Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah ini merupakan acara tahunan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya, yang mana ianya juga bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim di kalangan warga JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.



Close