Manage PermissionsManage Permissions

Bakal graduan UNISSA diraikan di Majlis Khatam



​Berita dan Foto : Saerah Haji Abdul Ghani





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 September. - Seramai 151 bakal graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA)  menyertai Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran bersempena dengan Hafl A-Takharruj UNISSA Ke-8, bertempat di Dewan Auditorium UNISSA, di sini.


Bakal-bakal graduan terdiri daripada 51 mahasiswa dan 100 mahasiswi dari Program Sarjana Muda, Program Diploma dan Program Peningkatan.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan peserta bakal graduan yang bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Naas.


Majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim oleh para mahasiswa diikuti bacaan Doa Khatam oleh salah seorang Graduan Program Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul), Awang Adee Aiman bin Haji Muhidin.


Acara diteruskan dengan Penyerahan Sijil Khatam Al-Quran kepada para graduan, disampaikan oleh tetamu kehormat diiringi dengan persembahan Dikir Marhaban.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena tamat pengajian para graduan di UNISSA dibacakan oleh Graduan Sarjana Muda Bahasa Arab, Awang Muhammad Arif bin Haji Johari.


Kehadiran para ibu bapa graduan yang terlibat pada majlis ini juga menambah kemeriahan suasana dan setentunya, kegembiraan itu amat dirasai dengan pencapaian yang diperoleh, bukan hanya dalam bidang akademik malahan juga dalam bidang kerohanian.


Majlis bertujuan bagi menzahirkan rasa kesyukuran setelah mengikuti pengajian di universiti tersebut, di samping menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.


Selain itu, majlis ini juga adalah sebagai pembudayaan dalam pembacaan Al-Quran di kalangan para mahasiswa, mahasiswi agar dijadikan amalan sepanjang hayat, apatah lagi dengan amalan pembacaan Al-Quran itu akan membawa ke arah kesempurnaan akhlak yang mulia.


Majlis merupakan salah satu acara tradisi tahunan yang diungkayahkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Penyelaras Aktiviti Keagamaan bagi menyemarakkan menjelang Sambutan Hafl Al-Takharruj UNISSA.


Juga hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh, Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah dan Pengarah-pengarah Kementerian Pendidikan.



Close