Manage PermissionsManage Permissions

Kebawah DYMM berangkat tiba di Denpasar, Bali, Republik Indonesia



Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto :  Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali, Muhammad Asri Haji Awang Abas



 

 

DENPASAR, BALI, REPUBLIK INDONESIA, Rabu, 10 Oktober - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  selamat berangkat tiba di Denpasar, Bali, Republik Indonesia hari ini bagi menghadiri Perhimpunan Para Pemimpin ASEAN (ASEAN Leaders' gathering) yang akan diadakan pada 11 October 2018.

 

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai bagi menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan, Tuan Yang Terutama Jenderal TNI (Bersara) Dr. H. Wiranto S.H. dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr. Sujatmiko serta para pegawai kanan dari Republik Indonesia.

 

Turut sama menjunjung keberangkatan tiba Kebawah DYMM ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Yussof bin Haji Abdul Rahman.

 

Sejurus keberangkatan tiba, baginda disembahkan dengan jambangan bunga dan kemudiannya dijunjung menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel terkemuka di Bali, tempat persemayaman baginda sepanjang keberangkatan di Denpasar, Bali, Republik Indonesia.

 

Perhimpunan Para Pemimpin ASEAN menjadi platform untuk penglibatan lanjut antara para Pemimpin ASEAN dengan Pengarah Urusan IMF, Presiden Bank Dunia dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Perhimpunan itu akan membincangkan isu-isu utama yang berkaitan dengan membangun secara sinergi dalam mengukuhkan kestabilan kewangan di rantau ini dan mempercepatkan pembangunan ekonomi dan integrasi serantau, serta meneroka kerjasama yang berpotensi bagi mencapai matlamat pembangunan.



Close