Manage PermissionsManage Permissions

Berangkat sertai Perhimpunan Para Pemimpin ASEAN



Oleh : Khartini Hamir, Marlinawaty Hussin / Foto : Masri Osman, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

 

 



RIMBA, Rabu, 10 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Bali, Republik Indonesia bagi menghadiri Perhimpunan Para Pemimpin ASEAN (ASEAN Leaders' Gathering) yang akan diadakan pada 11 Oktober 2018.

 

Sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

 

Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

 

Berangkat sama dan hadir di Hangar Penerbangan Kebawah DYMM bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah DYMM ialah Yang Amat Mulia Pengiran Cheteria; Menteri-menteri Kabinet; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; Timbalan-timbalan Menteri; Pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

 

Perhimpunan Para Pemimpin ASEAN tersebut adalah atas undangan Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Joko Widodo semasa TYT berucap pada Sesi Plenari, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-32 di Republik Singapura pada April lalu.

 

Ia bermatlamat menyediakan platform bagi perbincangan dan keterlibatan lanjut pemimpin-pemimpin ASEAN dengan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa, Presiden Bank Dunia dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di samping bertujuan untuk meningkatkan kerjasama di antara ASEAN dan organisasi terbabit khususnya dalam isu pembangunan mampan.

 

Perhimpunan itu bertemakan 'Mencapai Matlamat Mampan dan Mengatasi Jurang Pembangunan melalui Kerjasama Serantau dan Global' - (Achieving Sustainable Goals (SDGs) and Overcoming Development Gap through Regional and Global Collaborative Actions).

 

Perhimpunan Para Pemimpin ASEAN merupakan acara sampingan bagi Mesyuarat Tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

 

Mesyuarat Tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa yang diadakan dari 8 - 14 Oktober 2018 akan menyaksikan kehadiran perwakilan dari 189 negara. Para perwakilan termasuk ketua-ketua negara, menteri-menteri kewangan, gabenor bank pusat, pelaku kewangan dan ekonomi, pengamal, ahli akademik, dan wakil-wakil badan bukan kerajaan.



Close