Manage PermissionsManage Permissions

Tinjau perkembangan pembangunan Yayasan



Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Hamzah Haji Mohidin, Mohd. Sharizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 10 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Chairman of The Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Committee of Governors) telah berkenan berangkat membuat lawatan kerja ke Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kampung Bolkiah 'A' dan Kampung Bolkiah 'B', Mukim Sungai Kebun.


Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, ke Skim Perumahan Yayasan Kampung Bolkiah 'A' dan Kampung Bolkiah 'B' mencerminkan tanda keprihatinan Duli Yang Teramat Mulia terhadap kebajikan dan kesejahteraan penduduk Kampung Bolkiah 'A' dan Kampung Bolkiah 'B'.


Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, dijunjung oleh Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.


DYTM mula-mula berkenan berangkat melawat kawasan Tapak Pembinaan Bangunan Kekal Sekolah Ugama (terletak di Kampung Bolkiah 'A') dan seterusnya  berkenan melawat ke Pos Polis (terletak di Kampung Bolkiah 'A') serta lawatan ke Cawangan Pejabat Yayasan dan Bengkel Tenunan.


Bengkel Tenunan ini digunakan oleh penduduk kampung untuk menghasilkan produk tenunan sebagai sumber pendapatan mereka. Melalui perusahaan ini mereka juga dapat berkongsi kepakaran dan pengetahuan menenun kain tenunan untuk dipelajari oleh generasi akan datang.


Semasa lawatan, DYTM juga berkenan menyaksikan beberapa buah tempat di Kampung Bolkiah 'B' iaitu Cawangan Pejabat Yayasan, Mini Perpustakaan, Klinik Kesihatan, Sekolah Ugama Sementara, Balai Ibadat Kampung Bolkiah 'B' dan rumah Ketua Kampung Bolkiah 'B' iaitu Awang Shamsuddin bin Haji Maidin.


DYTM kemudian meneruskan lawatan ke beberapa buah rumah yang mengalami kerosakan. Duli Yang Teramat Mulia sangat memberi perhatian terhadap usaha Yayasan yang berterusan bagi menangani isu 'pembisaian' dan kesejahteraan penduduk di Kampung Bolkiah 'A' dan Kampung Bolkiah 'B'.


Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kampung Bolkiah 'A' dan Kampung Bolkiah 'B' merupakan salah satu rancangan Yayasan dalam bidang kebajikan, khususnya bagi menempatkan penduduk Kampong Ayer yang terlibat dalam kebakaran besar pada tahun 1993.


Sebanyak 476 buah rumah dibina dalam skim perumahan ini, iaitu sebanyak 226 buah rumah di Kampung Bolkiah 'A' dan 250 buah rumah di Kampung Bolkiah 'B'. Perumahan Kampung Bolkiah 'A' telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 16 Rabiulawal 1415H bersamaan 22 Ogos 1994M.


Manakala pada 22 Zulhijjah 1415H bersamaan 22 Mei 1995M, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merasmikan Perumahan Kampung Bolkiah 'B'.


Skim Perumahan Kampung Bolkiah menempatkan seramai 2,956 orang penduduk kampung. Bagi kesejahteraan dan keselesaan para penduduk beberapa kemudahan telah disediakan, selain kemudahan asas, seperti sebuah masjid iaitu Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (terletak di Kampung Bolkiah 'A' dan siap dibina pada bulan Julai 2000), sebuah Pos Polis (terletak di Kampung Bolkiah 'A'), sebuah Klinik Kesihatan (terletak di Kampung Bolkiah 'B'), Sekolah Ugama Sementara (terletak di Kampung Bolkiah 'B') dan sebuah jambatan utama yang menghubungkan Kampung Bolkiah 'A' dan Kampung Bolkiah 'B' (siap dibina pada April 2011).


Sebuah Cawangan Pejabat Yayasan juga disediakan di kedua-dua buah kampung bagi memberikan kemudahan kepada para penduduk membuat urusan dengan Yayasan.


Di sepanjang keberangkatan DYTM itu telah diiringi oleh Ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.



Close