Manage PermissionsManage Permissions

Kemampanan pembangunan YSHHB diberikan perhatian



Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohd. Sharizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 10 Oktober. - Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, menjunjung kasih atas keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB)yang memberikan semangat dan mencerminkan tanda keprihatinan DYTM terhadap kebajikan dan kesejahteraan dengan kemampanan dan pembangunan Yayasan.


''Mengenai dengan sabda teguran DYTM adalah dijunjung setinggi-tingginya dan sudah tiba masanya  Kampung Bolkiah dibangunkan dan tidak semestinya selamanya ianya terabai, namun demikian ada beberapa urusan pentadbiran dikemaskinikan,'' ujar Yang Berhormat ketika ditemui sejurus lawatan berakhir di Horizons Seafood Restaurant.


Menurut Yang Berhormat, mengenai dengan pemeliharaan ini perlunya ada dua belah pihak bertanggungjawab, iaitu tuan yang empunya dan berkepentingan untuk memelihara hak milik mereka dan pada masa yang sama pihak Yayasan yang membuat skim ini juga perlu membuat pendekatan baru, dengan menubuhkan unit pemeliharaan estet untuk menentukan estet-estet tersebut tidak terabai dan tidak menerima pemeliharaan yang sepatutnya.


Ini adalah langkah-langkah ke hadapan jelas Yang Berhormat, dengan menggunakan pendekatan seluruh negara, ternyata keahlian Lembaga Pengarah berbagai-bagai kementerian, khususnya menteri-menterinya sendiri dan ianya akan lebih mudah, khususnya pemeliharaan untuk masa hadapan termasuk kaedah baik mengenai dengan pemeliharaan estet dan Kementerian Pembangunan akan memainkan peranan.


''Alhamdulillah perkara ini sebelum keberangkatan telah ditangani dan ada beberapa rombongan dari Kementerian Pembangunan telah membuat pemeriksaan dan menentukan beberapa perkara, khususnya isu anai yang di luar jangkaan, memang diakui mungkin pernah pemilik-pemilik membuat aduan tetapi oleh sebab ketika itu soal pemeliharaan hak milik itu khusus pada mereka tetapi disebabkan mereka kurang berkemampuan dan ianya membiarkan perkara yang sepatutnya tidak buruk kepada yang lebih buruk,'' jelas Yang Berhormat.


Jelas Yang Berhormat, Lembaga Pengarah dan pengurusan Yayasan akan memberikan perhatian kepada mereka untuk memperbaiki mana-mana yang rosak.


Mengenai Kompleks Yayasan jelas Yang Berhormat, usaha berterusan untuk menarik pengunjung dan peniaga yang berupaya untuk jangka panjang seperti gedung-gedung yang besar yang ternama akan ditarik semula untuk beroperasi di Kompleks Yayasan.


Dengan ada peningkatan ujar Yang Berhormat, dengan pembukaan beberapa buah kedai baru dan menentukannya mengenai pendekatan seluruh negara bagi kepentingan untuk khususnya Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan akan menentukan pelancong-pelancong akan berhenti di Kompleks Yayasan dan untuk perhentian bas akan disediakan.


''Mengenai dengan tunggakan sewa yang belum dibayar, anak-anak syarikat menentukan pengurusan peniaga-peniaga dan penyewa-penyewa, soal mengutip balik yang tertunggak memang sudah dijalankan dan akan sentiasa diteruskan, manakala jika perlu tindakan undang-undang akan diambil sama juga dengan penyelewengan ianya terjadi sudah lama dan yang terlibat tidak lagi berkhidmat dan jika ada proses perundangan yang dapat menyelesaikannya akan diserahkan kepada pihak berwajib,'' jelas Yang Berhormat.



Close