Manage PermissionsManage Permissions

Malaysia hargai hubungan persaudaraan



Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 10 Oktober. - Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-61 dan Hari Malaysia Ke-55 Tahun 2018 disambut dengan Majlis Resepsi yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, di sini.


Hadir mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri, Datin Nurhayana Janis binti Abdullah Lim.


Dalam ucapan alu-aluan, Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, Dayang Rafedah binti Abdul Aziz memetik kata-kata Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tun Dato Laila Utama Dr. Mahathir Mohamad semasa lawatan rasmi ke negara ini sebagai berkata, ''Prinsip kebersamaan merupakan kunci kepada hubungan erat Malaysia dan Brunei Darussalam dan saya melihatnya dalam konteks 'kawan rapat' yang telah mengenali antara satu sama lain dalam jangka masa yang lama.''


Malaysia, tambahnya, menghargai dan mengagumi hubungan persaudaraan bersama Brunei dalam pelbagai aspek, di mana Perundingan Pemimpin Tahunan Brunei - Malaysia (ALC) merupakan mekanisme tahap tertinggi untuk membincangkan isu-isu dua hala, pada masa yang sama juga mengambil bahagian dalam hal ehwal semasa di antara kedua buah negara.


Acara kemuncak majlis ialah pemotongan kek oleh tetamu kehormat disertai oleh isteri dan Ketua-ketua Perwakilan ASEAN di Negara Brunei Darussalam.


Majlis juga diserikan dengan beberapa persembahan kebudayaan dan tarian dari seluruh Malaysia.



Close