Manage PermissionsManage Permissions

Al-Mukarabin dan Al-Amirah johan Pertandingan Dikir



Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 November. - Pasukan Dikir Al-Mukarabin Kategori Lelaki dari Mukim Sengkurong dan Pasukan Dikir Al-Amirah Kategori Perempuan dari Mukim Mentiri masing-masing muncul johan pada Pertandingan Dikir Syarafil Anam Peringkat Akhir di antara Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seluruh Negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-72 tahun 2018.


Pertandingan berlangsung di Dewan Serbaguna, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama Berakas.


Pasukan-pasukan yang memenangi tempat kedua dan ketiga Kategori Lelaki masing-masing diraih oleh Pasukan An-Nur dari Mukim Labu Temburong dan Pasukan Al-Muflihun dari Mukim Kuala Belait sementara pasukan Khirunnisa dari Mukim Bokok Temburong dan Pasukan Soleha dari Mukim Kuala Belait menduduki tempat kedua dan ketiga Kategori Perempuan.


Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong dan Datin yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.


Pertandingan Dikir Syarafil Anam tersebut adalah salah satu acara keugamaan bagi menyemarakkan dan memeriahkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun 2018 yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Mukim Sengkurong dengan kerjasama Bahagian Institusi Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.


Sebanyak lima pasukan Kategori Lelaki dan lima pasukan Kategori Wanita mewakili Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dari keempat daerah bertanding di Peringkat Akhir tersebut termasuk pasukan dikir lelaki dan wanita Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di bawah Mukim Sengkurong selaku penganjur pertandingan pada tahun ini.


Pertandingan akhir malam ini juga diserikan dengan persembahan Tausyeh dari Kumpulan Tausyeh Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim Sengkurong.



Close