Manage PermissionsManage Permissions

Hadiri INDO DEFENCE 2018 Expo, Forum Ke-8



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan

 



 

JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, Rabu, 07 November. - INDO DEFENCE 2018 Expo dan Forum Ke-8 yang berlangsung di JIExpo Kemayoran, Jakarta mulai 7 hingga 11 November 2018 dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan, Republik Indonesia.

 

Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof menghadiri ekspo dan forum berkenaan, atas undangan Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama (B) Ryamizard Ryacudu.

 

Yang Berhormat mengetuai satu delegasi yang terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menghadiri ekspo dan forum tersebut pada Rabu, 7 November 2018.

 

INDO DEFENCE 2018 Expo dan Forum Ke-8, bertema "Membangun Kerjasama Pertahanan Global untuk Keamanan Masa Depan" dirasmikan oleh Naib Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dr. (H.C.) Drs. H. Muhammad Jusuf Kalla.

 

Pada tahun ini, pameran pertahanan tersebut menarik penyertaan lebih daripada 867 peserta pameran dari 60 negara termasuk 25,000 ahli delegasi dan pelawat perdagangan.

 

Acara tersebut dianjurkan setiap dua tahun dan mempamerkan pelbagai produk juga teknologi ketenteraan terkini dan berperanan sebagai landasan untuk menilai keupayaan tentera yang dipamerkan.

 

Yang Berhormat Menteri Pertahanan II juga membuat kunjungan muhibah kepada Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu, manakala Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud pula membuat perjumpaan dua hala bersama Kepala Staf Umum Tentara Nasional Indonesia (KASUM TNI), Laksamana Madya Dr. Didit Herdiawan Ashaf, M.P.A., M.B.A. Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua pihak mengesahkan hubungan dua hala yang baik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia juga membincangkan bidang-bidang yang berpotensi untuk kerjasama pertahanan.

 


Close