Manage PermissionsManage Permissions

Malam Gala raikan pegawai perbankan anggota ASEAN



Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Azmah Haji Ahad





JERUDONG, Rabu, 7 November. - Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah dan wadah permuzakarahan bagi lebih 150 pegawai eksekutif perbankan dari 10 negara anggota ASEAN yang menghadiri Mesyuarat Majlis Perbankan Kali Ke-48.


Sehubungan itu, bagi meraikan para delegasi ke mesyuarat kali ini, Persatuan Bank-Bank Brunei mengadakan Majlis Malam Gala yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Jerudong Park and Polo Club.


Hadir menyerikan majlis selaku tetamu kehormat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Datin.


Juga hadir, pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Autoriti Monetari Brunei Darussalam serta beberapa perwakilan asing di negara ini dan juga pegawai-pegawai bank.


Naib Pengerusi Persatuan Bank-Bank Brunei, Awang Abdul Razak Abdul Malek dalam alu-aluannya antara lain menyatakan, mesyuarat berkenaan memainkan peranan penting dalam menyatukan bersama semua ahli perbankan dalam negara ASEAN untuk secara kolektif memacu dan membangun perkembangan dan kemajuan perbankan dan kewangan, bukan sahaja di negara masing-masing malah di rantau ini.


Rantau ASEAN tambahnya, adalah salah satu kawasan yang paling pesat berkembang dan dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang tahun 2030 nanti.


Para delegasi diperkenalkan melalui persembahan kebudayaan negara serta turut disajikan juadah tradisi tempatan.


Negara menjadi tuan rumah bagi mesyuarat tersebut selama dua hari sehingga esok, 8 November, bertempat di Empire Hotel & Country Club.


Mesyuarat kali ke-47 sebelum ini yang berlangsung di Viet Nam antara lain menumpukan beberapa perbincangan atau topik kepentingan serantau seperti pembangunan kewangan yang mampan, kemasukan kewangan, penggunaan teknologi moden, pembangunan sumber manusia dan sebagainya, serta mencadangkan inisiatif untuk kerjasama dan pelan-pelan tindakan demi kepentingan bersama.



Close