Manage PermissionsManage Permissions

Tingkatkan keselamatan, keselesaan reka bentuk bangunan



Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 November. - Pihak-pihak yang terlibat dalam penyediaan dan proses reka bentuk pembinaan kawasan atau tempat yang mudah diakses oleh golongan-golongan yang berkenaan hendaklah mengambil kira perancangan setiap projek bagi memastikan kesemua keperluan tersebut menepati objektif dan peruntukan pihak klien.


Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa berucap pada Majlis Pelancaran Buku Panduan 'Different Abilities Design Guidelines (DADG) 2018' yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Bangunan Pusat Latihan dan Kemahiran Kerja (MODTC), Kementerian Pembangunan.


Yang Berhormat menambah, segala usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memberikan kemudahan dan penyediaan polisi secara progresif, akan memberikan impak positif secara keseluruhan, selaras dengan visi dan misi Kementerian Pembangunan untuk memastikan penyediaan infrastruktur perumahan, bangunan dan perkhidmatan yang terbaik, sejajar dengan teras 'Kehidupan Yang Berkualiti' dalam mendukung Wawasan Brunei 2035.


Buku garis pandu tersebut bertujuan meningkatkan lagi keselamatan, keselesaan dan mengurangkan halangan di persekitaran untuk memastikan orang-orang kelainan upaya dapat menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan di sesebuah bangunan.


Selain itu, ianya juga menitikberatkan golongan warga emas untuk membangun komuniti yang lebih inklusif melalui konsep-konsep reka bentuk yang 'universal' dan keperluan lain untuk golongan tertentu seperti ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil, di samping memastikan bangunan-bangunan mesra keluarga disediakan dengan kemudahan seperti tandas anak-anak dan bilik penyusuan.


Buku DADG 2018 juga menyenaraikan objektif reka bentuk dan keperluan bagi bangunan-bangunan awam termasuk masjid-masjid, bangunan kerajaan, bangunan komersial dan sebagainya dengan menyediakan jalan-jalan akses bagi orang-orang kelainan upaya, termasuk warga emas yang mempunyai pergerakan yang terhad; kemudahan untuk pengguna kerusi roda seperti 'ramp' dengan mengikut 'gradient' yang telah ditetapkan; penggunaan 'Braille' dan 'tactile information' di papan tanda dan tempat strategik seperti tangga, punat lif dan tandas awam.


Buku tersebut merupakan usaha Negara Brunei Darussalam dalam merealisasikan tuntutan negara bagi Konvension Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah 'Rights of Persons with Disabilities'.


Satu jawatankuasa 'Guidelines Review' telah ditubuhkan pada Disember 2017 diterajui oleh Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) dengan kerjasama beberapa pakar daripada sektor awam, swasta, sukarelawan dan pihak yang berkepentingan bagi mendapatkan perspektif yang lebih menyeluruh untuk meneliti kehendak Perintah Kawalan Bangunan, 2014 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bangunan, 2014.


Setiap bab garis panduan bertujuan untuk memberikan pencerahan yang rasional mengenai setiap keperluan dengan penyediaan gambar rajah yang berkaitan untuk mengurangkan kekeliruan mengenai keperluan-keperluan dalam garis panduan ini.


Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Ar. Siti Rozaimeriyanti binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin.



Close