Manage PermissionsManage Permissions

MKKJR adakan Sembahyang Sunat Hajat




Berita dan Foto : Mohamad Azmi Awang Damit




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Disember. - Bersempena dengan Minggu Keselamatan Jalan Raya 2018, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) petang tadi telah mengadakan Sembahyang Sunat Hajat, Sembahyang Fardu Asar Berjemaah dan Membaca Ratib Al-Attas yang berlangsung di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam.

 

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong, selaku Pemangku Menteri Perhubungan.

 

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad selaku Timbalan Pengerusi II MKKJR; Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos selaku ahli MKKJR dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Dr. Haji Supry bin Haji Awang Ladi selaku Setiausaha MKKJR.

 

Majlis juga turut dihadiri oleh Ambassador-Ambassador MKKJR, Ahli-ahli MKKJR, Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan serta jabatan-jabatan dan pihak-pihak berkuasa di bawahnya.

 

Majlis keugamaan ini merupakan kesinambungan aktiviti Minggu Keselamatan Jalan Raya 2018 yang mana telah dilancarkan pada 1 Disember 2018 oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja MKKJR.

 

Tujuan utama majlis diadakan adalah untuk memohon kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, supaya negara ini terutamanya pengguna-pengguna jalan raya, sentiasa diberikan perlindungan dari kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini.

 

Majlis yang sama juga turut diadakan di Daerah Belait, bertempat di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, dan turut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku Penghulu Mukim Liang.

 

Sementara itu, bagi Daerah Tutong dihadiri oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd. Hussain yang diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.

 

Manakala bagi Daerah Temburong, majlis berlangsung di Masjid Utama Mohamamad Salleh, Pekan Bangar dan turut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu selaku Penghulu Mukim Bokok dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Mohammad Khairol Shahrul bin Haji Duahim.



Close