Manage PermissionsManage Permissions

Brunei - Korea nikmati kerjasama dua hala, ekonomi sangat baik



Oleh : Haniza Abdul Latif \ Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Disember. - Selain meningkatkan produk-produk pelancongan, mengenal pasti peluang pelaburan pelancongan baharu, Negara Brunei Darussalam (NBD) juga sedang berkembang dari segi hubungan untuk memudahkan para pelancong.

 

Sebagai contoh, dengan peningkatan 145 peratus ketibaan pelancong Korea pada 2017 berbanding 2016, Royal Brunei Airlines memperkenalkan penerbangan tiga kali seminggu ke Incheon, Korea, yang mana akan membantu lagi kedatangan pelancong ke kedua-dua buah negara.

 

Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong, menjelaskan perkara tersebut semasa Seminar Kerjasama Ekonomi Bersama Brunei - Korea : Strategi Promosi Pelancongan, bertempat di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi (D&T), Kampung Anggerek Desa, di sini.

 

Menurut Yang Berhormat, mengikut statistik yang dikumpulkan di antara bulan Januari hingga Ogos tahun ini, terdapat 5,444 ketibaan pelancong Korea ke NBD yang meningkatkan sektor pelancongan, khusus bagi bersukan golf di The Empire Hotel & Country Club, yang mana adalah hasil daripada promosi dan kerja keras ejen pelancongan, iaitu Sinar Tour Sdn. Bhd.

 

Oleh itu, Yang Berhormat berharap dengan lebih banyak sambungan dan kerjasama di antara syarikat penerbangan, ejen pelancongan dan perhotelan akan dapat melihat peningkatan yang lebih tinggi daripada pelancong-pelancong Korea ke NBD dan tinggal lebih lama di negara ini untuk menikmati pakej-pakej yang menarik yang ditawarkan.

 

Satu lagi bidang, di mana mereka mencapai kemajuan ujarnya, ialah penubuhan kedai bebas cukai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei oleh SBC Sdn. Bhd. pada Mei tahun ini yang menyediakan penumpang berlepas di lapangan terbang bagi pengalaman membeli-belah yang lebih baik dengan menawarkan lebih banyak pilihan koleksi barangan mewah.

 

Korea jelasnya, adalah salah satu daripada rakan dagang utama ke NBD, tetapi kebanyakannya adalah daripada eksport minyak dan gas dari NBD ke Korea dan mengalu-alukan lebih ramai bakal pelabur dalam bidang pelancongan; ICT dan pembuatan; pertanian dan perikanan ke negara kita.

 

Menurut Laporan Bank Dunia 'Doing Business 2018' terangnya, NBD dinamakan sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi terbaik di dunia selama tiga tahun berturut-turut dalam Kemudahan Melakukan Perniagaan (Ease of Doing Business).

 

Penambahbaikan yang signifikan dalam kedudukan ini menurutnnya, mencerminkan komitmen serius Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah mewujudkan persekitaran Pro-Perniagaan yang akan membolehkan kepelbagaian ekonomi negara.

 

Tekannya, gabungan lokasi strategik Brunei infrastruktur yang baik, kestabilan politik, tenaga kerja yang berpendidikan tinggi, hutan yang dipelihara, pencemaran rendah dan pembaharuan persekitaran perniagaan membolehkan NBD berkembang maju sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di rantau ASEAN.

 

Memandangkan potensi Brunei yang besar jelasnya, ia harus mendapat perhatian daripada pelabur Korea.

 

Terdahulu dalam ucapannya juga berkata, NBD dan Korea menikmati kerjasama dua hala dan hubungan ekonomi yang sangat baik.

 

Tambahnya, Industri Pelancongan merupakan pemacu pembangunan ekonomi dan sosial yang penting agar dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan menjana pendapatan, pekerjaan, pelaburan dan eksport, di samping menjana kesan 'spin-off' berharga, termasuk pemeliharaan warisan budaya, infrastruktur yang lebih baik dan kemudahan masyarakat setempat.



Close