Manage PermissionsManage Permissions

Bekerjasama pelbagaikan ekonomi Brunei - Korea



Oleh : Haniza Abdul Latif \ Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Disember. - Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Kedutaan Republik Korea, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan Darussalam Enterprise (DARe) hari ini mengadakan Seminar Kerjasama Ekonomi Bersama Brunei - Korea : Strategi Promosi Pelancongan, bertempat di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi (D&T), Kampung Anggerek Desa, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat pada seminar tersebut ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong.

 

Juga hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Puan Yang Terutama Yoon Hyun-bong; Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap KSSUP.

 

Puan Yang Terutama Yoon Hyun-bong dalam ucapan alu-aluannya antara lain berkata, sehingga kini kerjasama ekonomi di antara NBD dan Republik Korea dikuasai oleh minyak, gas, jentera seperti kereta dan telefon pintar, dan lain-lain, dan percaya kini adalah masa untuk kedua-dua negara kita bekerjasama dan cuba mempelbagaikan ekonomi.

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini tambahnya, Kedutaan Republik Korea menyediakan seminar yang memberi tumpuan kepada subjek dalam memperkuatkan kerjasama praktikal di antara kedua negara yang menghasilkan kemajuan sangat positif dan bermanfaat.

 

Menurutnya lagi, penerbangan terus di antara NBD dan Republik Korea meningkatkan pelancongan di antara kedua-dua negara, yang mana terdapat banyak kenaikan dalam kalangan pertukaran penduduk (people-to-people exchange) sejak Ogos lalu apabila penerbangan itu ditambah tiga kali seminggu.

 

Sebagai tambahan jelasnya, penduduk dari kedua negara memahami budaya dan iklim ekonomi masing-masing, sehingga menjadikannya layak bagi mereka untuk mempromosikan perniagaan baharu.

 

Seminar tersebut menjemput beberapa orang penceramah yang terdiri daripada pakar-pakar dan pihak-pihak yang berkepentingan dari syarikat-syarikat Republik Korea dalam bidang pelancongan dan agensi-agensi kerajaan.

 

Para penceramah dari Jabatan Kemajuan Pelancongan dan LKEB juga menyampaikan kertas kerja masing-masing semasa seminar tersebut.

 

Penceramah-penceramah yang terpilih mengongsikan bersama amalan-amalan terbaik dalam pelaburan pelancongan di Republik Korea, kisah-kisah kejayaan dan meneroka peluang-peluang pelaburan bagi industri pelancongan dalam persekitaran yang sentiasa berubah.

 

Antara objektif seminar yang diadakan selama sehari tersebut ialah untuk berkongsi pengetahuan mengenai pembangunan dan promosi industri pelancongan di NBD, dengan penekanan khusus pada Daerah Temburong, melalui pengukuhan pemeliharaan alam semula jadi di zon hutan hujan.

 

Selain membincangkan strategi-strategi bagi Daerah Temburong untuk ditetapkan sebagai warisan Dunia UNESCO dan mendapatkan pengajaran dari Republik Korea, di samping mewujudkan kesedaran mengenai teknologi dan model perniagaan baharu yang mengelilingi pelancongan mesra persekitaran.



Close