Manage PermissionsManage Permissions

Ketepatan masa menjadi keutamaan pentadbiran mahkamah



Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Januari. - Ketepatan masa akan menjadi keutamaan dan kecekapan mestilah menjadi norma dalam pentadbiran mahkamah.

 

Perubahan dalam budaya kerja dan cara pemikiran yang baharu harus dilakukan.

 

Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong Wan Oon menegaskan demikian pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2019 yang berlangsung di Bangunan Mahkamah Tinggi, di sini seterusnya berkata, langkah-langkah yang sepatutnya telah dilaksanakan bagi memastikan perbicaraan bermula tepat pada masanya, bilangan penangguhan perbicaraan yang berjalan dikurangkan, pengurusan kes aktif diamalkan dan tempoh masa dalam penyampaian penghakiman dipenuhi yang mana akan memperbaiki prestasi dalam perlupusan jika ia berlaku.

 

Menurut Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong Wan Oon, sasaran telah ditetapkan untuk penyampaian penghakiman oleh Hakim, Majistret dan Pendaftar umumnya satu bulan dan tidak melebihi tiga bulan untuk kes-kes yang kompleks selepas penutupan segala hujah-hujah.

 

Yang Amat Arif seterusnya mengulangi bahawa dalam mencapai keberkesanan Kehakiman mesti mencari keseimbangan untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai pada pentadbiran keadilan.

 

"Keadilan yang tertunda dan keadilan yang bergegas boleh menyebabkan ketidakadilan. Di satu pihak, kes-kes perlu diselesaikan dengan segera dan hakim-hakim tidak harus menunda keadilan kerana terdakwa atau litigan boleh kehilangan kebebasan atau harta benda. Sebaliknya, tidak ada seorang pun yang harus meninggalkan mahkamah dengan keluhan bahawa mereka tidak mendapat hak bagi perbicaraan yang penuh dan adil kerana hakim yang tidak bersabar. Ia adalah aksiomatik bahawa keadilan bukan hanya dilakukan tetapi terlihat telah terlaksana," ujar Yang Amat Arif.

 

Dalam ucapannya juga, Yang Amat Arif memuji Persatuan Undang-Undang atas usaha persatuan itu dalam mengembangkan perkhidmatan pro bono untuk meningkatkan akses pada keadilan.

Yang Amat Arif menggalakkan semua ahli badan guaman untuk menawarkan khidmat mereka dan menggunakan latihan mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat yang kurang bernasib baik dan lemah demi untuk kepentingan awam.

 

Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2019 bermula dengan Ketua Hakim Mahkamah Besar memeriksa perbarisan kehormatan terdiri daripada anggota-anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

Sejurus selepas Perbarisan Kawalan Kehormat, acara diteruskan dengan ucapan dari Ketua Hakim Mahkamah Besar dikuti dengan ucapan Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid dan Yang Di-pertua Persatuan Undang-Undang, On Hung Zheng.

 

Upacara tersebut merupakan perkumpulan tahunan yang diadakan di Mahkamah Besar yang mengumpulkan semua ahli komuniti perundangan Negara Brunei Darussalam.

 

Juga hadir, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Yang Amat Arif Ketua Hakim Mahkamah Syariah; Yang Arif Hakim-Hakim Mahkamah Sivil dan Syariah; Pembesar-pembesar Negara; Ahli-ahli Mesyuarat Negara; Duta-Duta dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai dan kakitangan dari Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, pengamal undang-undang, ahli-ahli dari berbagai agensi penguatkuasa kerajaan dan mahasiswa mahasiswi dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali.



Close