Manage PermissionsManage Permissions

Wujudkan rangka kerja pengawalseliaan ancaman keselamatan siber



Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Januari. – Pejabat Peguam Negara akan mengukuhkan lagi kerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi menggubal undang-undang baharu untuk mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan bagi memantau dan melaporkan dengan lebih berkesan mengenai ancaman keselamatan siber.

 

Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid menjelaskan perkara itu pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2019 berlangsung di Bangunan Mahkamah Tinggi, di sini seterusnya berkata, pada masa yang sama, mewujudkan rejim pelesenan yang juga berfungsi untuk mengawal selia bagaimana keselamatan data dikendalikan melalui rangkaian bergerak dan penyedia keselamatan data.

 

Manurut Yang Berhormat, banyak ancaman jenayah siber dan keselamatan siber yang telah berlaku di seluruh dunia dan diharap undang-undang baharu itu akan menambah dimensi lanjut bagi privasi data, rangka kerja undang-undang jenayah siber dan keselamatan siber pada keseluruhannya.

 

Yang Berhormat dalam ucapannya juga menyentuh mengenai peningkatan kadar bunuh diri dan isu kesihatan mental yang mana dari tahun 2014 hingga 2017, Pasukan Polis Diraja Brunei telah merekodkan 35 kes bunuh diri di mana ia jumlah yang membimbangkan bagi sebuah negara kecil.

 

"Saya percaya lebih banyak program kesedaran (jerayawara, pendidikan awam) boleh membantu dan dengan agensi-agensi lain kerajaan yang berkaitan dan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) dengan memberikan sokongan sosial dan kaunseling untuk mengubah pola fikiran mengenai kecelaruan mental," ujarnya.

 

Yang Berhormat juga menyentuh mengenai Persatuan Undang-Undang yang memainkan peranan yang positif dan penting dalam masyarakat akan bekerja rapat bersama Pejabat Peguam Negara untuk mencari keseimbangan belas kasihan dan keadilan yang betul.

 

Di samping, Yang Berhormat dalam ucapannya juga menyentuh mengenai pindaan perundangan kepada peruntukan-peruntukan berhubungan dengan pecah amanah jenayah (CBT).

 

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Undang-Undang, On Hung Zheng dalam ucapannya antara lain menjelaskan, wujudnya hubungan yang kukuh antara profesion undang-undang dan komuniti contohnya dalam perkhidmatan di Legal Aid Clinic.

 

Yang Dipertua menambah, Persatuan Undang-Undang memainkan peranan penting dalam pentadbiran keadilan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

 

Menurutnya, profesion undang-undang berkembang apabila komuniti juga turut berkembang, ini termasuk keupayaan profesion untuk menyediakan pekerjaan kepada lulusan graduan undang-undang.

 

Yang Di Pertua juga mengongsikan cabaran profesion dalam peningkatan penggunaan teknologi dan automasi serta globalisasi.

 


Close