Manage PermissionsManage Permissions

Program Akademi Da'wah lahirkan generasi beriman



Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 11 Januari. - Belia selaku pewaris dan tonggak kekuatan negara perlulah menjadi generasi yang produktif, berdaya saing, berwawasan, dinamik dan berkebolehan tanpa mengenepikan ajaran ugama, iaitu menjadi generasi beriman, berilmu dan beramal yang menjadi tuntutan dan panduan rakyat serta penduduk di Negara Brunei Darussalam selaras dengan Wawasan Brunei 2035.


Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof selaku tetamu kehormat menegaskan perkara itu semasa merasmikan Program Akademi Da'wah 2.0 yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), di sini.


Terangnya, belia masa kini perlu didedahkan kepada suasana kehidupan masyarakat yang saling tegur menegur atau istilah dalam Al-Quran menyebutnya 'amar ma'ruf nahi munkar' (iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran).


Itu, jelasnya, adalah agar masyarakat khususnya belia dapat menghindarkan diri dari kebinasaan kehidupan duniawi dan ukhrawi.


Majlis tersebut diadakan oleh Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Da'ie PDI dengan kerjasama Program Keugamaan Belia (PKB) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sebagai pembuka tirai untuk memulakan Program Akademi Da'wah 2.0 yang mana enam sesi pengajian program tersebut akan bermula pada 19 Januari hingga 26 Mei 2019.


Peserta program berkenaan dikehendaki untuk bermalam di asrama PDI sepanjang sesi itu nanti dan juga dikehendaki mengikut peraturan-peraturan yang telah dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa program berkenaan.


Seramai 48 peserta terdiri daripada para da'ie yang berdaftar di bawah Badan Sukarelawan Belia Da'ie dan orang-orang awam telah berjaya memasuki program ini.


Majlis turut diisikan dengan bacan ikrar dari para peserta akademi.


Antara objektif program ialah untuk menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan berda'wah serta cara-cara yang betul di samping sebagai didikan / tarbiah kepada para peserta.


Selain itu ia juga diharap dapat melahirkan da'ie yang dapat melaksanakan da'wah di dalam bidang masing-masing, serta sebagai pendedahan (awareness) kepada orang awam mengenai penubuhan belia da'ie sebagai wadah untuk berda'wah, khususnya golongan muda.



Close