Manage PermissionsManage Permissions

141 pelajar berjaya sertai STAR



Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Azmah Haji Ahad

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 11 Januari. - Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) merupakan skim yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam (JPI) bagi melahirkan remaja yang berpotensi dalam bidang pembacaan Al-Quran secara bertarannum yang bermula pada tahun 1997.

 

Objektif penubuhan STAR adalah untuk melatih dan membimbing remaja dalam pembacaan Al-Quran melalui lagu-lagu tilawah yang masyhur.

 

Matlamat skim ini ialah untuk melahirkan pembaca-pembaca Al-Quran remaja yang berpotensi yang dihasratkan sebagai pelapis qari dan qariah negara peringkat kebangsaan.

 

Pada tahun ini, JPI telah mengadakan majlis pendaftaran pelajar-pelajar baharu Pengambilan Ke-22 sesi 2019-2020.

 

Seramai 141 pelajar telah berjaya mengikuti skim ini, iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara seramai 123 orang, Daerah Tutong seramai empat orang, Daerah Belait seramai tujuh orang dan Daerah Temburong seramai tujuh orang.

 

Majlis pendaftaran diadakan serentak di semua daerah di pusat-pusat pembelajaran Skim Tilawah Al-Quran Remaja iaitu Daerah Brunei dan Muara di Sekolah Ugama Beribi, Gadong; Daerah Tutong di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain; Daerah Belait di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bokiah dan Daerah Temburong di Sekolah Arab Temburong, pagi tadi.

 

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai.

 

Persembahan bacaan Al-Quran oleh Pelajar Lanjutan STAR; Taklimat dan Suai Kenal Tenaga Pengajar dari wakil-wakil Bahagian Pelajaran Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam.

 

Pada majlis yang diadakan di Daerah Brunei Muara, Pelita Brunei sempat menemui Pemangku Ketua Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir, Bahagian Pelajaran Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam, Pengiran Masidayu @ Hazirah binti Pengiran Hussin selaku penyampai taklimat.

 

Beliau menjelaskan sambutan sejak skim ini ditubuhkan begitu mengalakkan dan para pelajar yang terpilih ini sememangnya bertuah kerana mereka dapat mempelajari Al-Quran dengan lebih mendalam lagi selain menghalusi bacaan-bacaan yanh diajarkan oleh tenaga-tenaga pengajar mengikut kurikulum yang ditetapkan.

 

"Selain itu, para pelajar juga dapat mempelajari dikir-dikir dan tausyeh-tausyeh yang mashur dalam tempoh masa dua tahun. Kebanyakkan daripada bekas pelajar STAR ini telah berjaya menempah nama di persada tilawah-tilawah di Al-Quran mahupun di dalam dan di luar negeri," katanya.

 

Majlis turut diserikan dengan persembahan Tausyeh oleh Pelajar Lanjutan STAR dan majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

 


Close