Manage PermissionsManage Permissions

ITQSHHB bertahlil di Kubah Makam Diraja



Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 11 Januari. - Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) hari ini mengadakan Majlis Bacaan 30 Juzuk Al-Quran dan Tahlil bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di–Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al–Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Al–Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong di sini.

 

Rombongan ITQSHHB yang diketuai oleh Pemangku Pengetua institut berkenaan, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit terdiri dari para pegawai dan tenaga pengajar lelaki serta para pelajar baharu lelaki.

 

Bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh ketua rombongan yang juga memimpin bacaan tahlil dan doa.

 

Aktiviti Minggu Ta'aruf atau Minggu Suai Kenal itu juga diimarahkan dengan bacaan 30 juzuk Al-Quran daripada para pelajar Tahun 7 yang baharu (peringkat menengah) ITQSHHB bagi sesi 1440 Hijrah / 2019 Masihi.

 

Majlis sedemikian diharap dapat membantu para pelajar baharu untuk menyesuaikan diri mereka dengan suasana pembelajaran dan kehidupan di ITQSHHB, iaitu para pelajarnya perlu sentiasa berdamping dengan kitab suci Al-Quran, selain mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama dalam kalangan warga ITQSHHB.

 

ITQSHHB akan secara rasminya menerima kemasukan seramai 60 orang pelajar baharu (peringkat menengah), iaitu 21 orang pelajar lelaki dan 39 orang pelajar perempuan yang akan berlangsung Sabtu, 12 Januari 2018.

 

Manakala pengajian secara formal bagi para pelajar baharu tersebut akan bermula pada 14 Januari depan.

 


Close