Manage PermissionsManage Permissions

Hubungan akrab Brunei - Iran terjalin erat



Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Hernie Suliana Haji Othman

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 11 Februari. - Bagi meraikan Ulang Tahun Kemenangan Revolusi Islam di Republik Islam Iran Ke-40, Kedutaan Republik Islam Iran di Negara Brunei Darussalam mengadakan Majlis Resepsi yang berlangsung di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussala ialah, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

 

Hadir sama, Kuasa Usaha Sementara, Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Dr. Mahmoud Rahimi Gorji.

 

Dalam ucapannya, Dr. Mahmoud Rahimi Gorji antara lain menjelaskan bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang aman serta stabil di rantau ini dan sebagai anggota aktif dan penting dalam ASEAN di bawah kepimpinan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 

Di samping itu katanya, negara ini juga mempunyai peranan yang penting dalam dasar luar Republik Islam Iran.

 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Brunei, 'Allah Peliharakan Sultan' dan lagu kebangsaan Republik Islam Iran, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

 

Acara kemuncak majlis ialah memotong kek ulang tahun yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama Dr. Mahmoud Rahimi Gorji.

 

Majlis turut diserikan dengan tayangan video mengenai Republik Islam Iran.

 

Negara Brunei Darussalam dan Republik Islam Iran adalah antara dua buah negara yang mempunyai persamaan dari segi sejarah, budaya dan agama serta mempunyai minat yang sama membuatkan kedua-dua buah negara ini menjadi lebih akrab dalam meningkatkan hubungan serta kerjasama dalam pelbagai bidang.

 


Close