Manage PermissionsManage Permissions

Jabatan Penerangan semai semangat patriotisme melalui lagu-lagu patriotik



Siaran Akhbar : Jabatan Penerangan / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 

 



TEMBURONG, Isnin, 11 Februari. - Bagi mencungkil dan menggilap bakat-bakat baharu dalam nanyian berkumpulan koir, terutamanya lagu-lagu patriotik dalam kalangan penduduk mukim dan kampung, di samping untuk melatih mereka berani tampil di khalayak ramai, sekali lagi Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menganjurkan Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik di antara Mukim-mukim bagi Program Semarak Pengibaran Bendera Negara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-35, Tahun 2019 bagi Daerah Temburong.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Belalong, Daerah Temburong ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Bokok, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu.

 

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad, Penghulu-penghulu, Ketua-ketua Kampung, para pegawai Jabatan Penerangan dan penduduk kampung yang mewakili kampung masing-masing.

 

Johan Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik di antara Mukim-mukim bagi Daerah Temburong diraih oleh Kumpulan RPN Kampung Rataie dari Mukim Bokok yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah BND1,500.00 dan sijil penyertaan.

 

Naib juara disandang oleh kumpulan koir Citra Alunan dari Mukim Bangar dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah BND1,300.00 dan sijil penyertaan. Manakala di tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan koir Mukim Labu dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah BND1,000.00 dan sijil penyertaan.

 

Sementara Kumpulan Koir Harmonika dari Mukim Batu Apoi dan Kumpulan Mukim Amo masing-masing menerima hadiah sagu hati wang tunai berjumlah BND500.00 berserta sijil penyertaan.

 

Pertandingan koir tersebut dibukakan kepada penduduk mukim-mukim di seluruh negara dengan melibatkan institusi mukim dan kampung, jabatan daerah di keempat-empat daerah sebagai rakan strategik bagi mengungkayahkannya.

 

Melalui pertandingan itu juga diharap dapat menyuntik semangat ingin berjaya, menyemai semangat daya saing dan membina keyakinan diri. Bakat-bakat tersebut nantinya akan mampu diketengahkan dalam pelbagai cabang seni nyanyian, lakonan, tarian dan pengacaraan.

 

Antara objektif pertandingan dianjurkan ialah bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk mukim dan kampung, selain menjadi platform bagi penyanyi berkumpulan terus berkarya, di samping dapat mengisi ruang dan peluang dalam program-program seperti Pentarama atau seumpamanya yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, JPM.

 

Pertandingan ini dapat memupuk semangat berdaya saing dan patriotik melalui lagu-lagu yang dipertandingkan, sekali gus memberikan kesedaran bernegara melalui penghayatan berbentuk hiburan yang terpimpin.

 

Kumpulan-kumpulan koir juga boleh digunakan bagi acara-acara kenegaraan yang diungkayahkan oleh mana-mana Majlis Perundingan Mukim (MPM) / Majlis Perundingan Kamupung (MPK) dan jabatan / kementerian kerajaan, manakala pemenang kumpulan koir akan diberikan peluang untuk membuat rakaman di RTB dan diputarkan di corong radio.

 

Atur cara dimulakan dengan lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dan Lagu Patriotik 'Bendera Negara' dan tayangan Video Klip 'Kibarkan Bendera Negara Kita', 'Animasi Tatacara Menaikkan Bendera', sementara ucapan alu-aluan disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Ketua Penerangan Cawangan Temburong yang juga selaku Pengerusi Majlis bagi Daerah Temburong, Pengiran Arsul bin Pengiran Haji Momin.



Close