Manage PermissionsManage Permissions

Kurangkan pekerja asing



Laporan : Aimi Sani \ Foto : Masri Osman, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 13 Mac. - Jabatan Buruh bersama Job Center akan meneliti keperluan dari syarikat-syarikat, pemohon-pemohon untuk mendatangkan orang luar negeri ke negara ini berkaitan dengan pengenalan Lesen Pekerja Asing yang telah menggantikan kuota sistem melalui lesen ini.


Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong berkata menerusi kerjasama ini, sepanjang tahun 2018 saja kita telah dapat memberikan 1,715 peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan yang pada asalnya dipohonkan untuk diisikan dengan pekerja-pekerja luar negeri.


''Kaola sendiri tidak memberikan angka-angka berapa banyak permohonan-permohonan yang ditolak oleh Jabatan Buruh kerana dengan kerjasama Job Centre melihat bahawa bidang-bidang pekerjaan itu dapat diisikan oleh orang tempatan dan ada 'skill matching' daripada pemohon-pemohon di Job Center.


Jadi, langkah ke hadapan dalam masa kita untuk mengurangkan kedatangan pekerja-pekerja asing ini ialah untuk mengenalkan ratio yang kaola terangkan dalam Nisbah Tempatan Asing (NTA) dan pada masa ini sedang diteliti tiga sektor yang utama, iaitu Sektor Pembinaan, Sektor Pendidikan dan Sektor Runcit dan Borong,'' ujar Yang Berhormat semasa menjawab soalan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim yang mengemukakan perkara berkaitan dengan pekerja-pekerja asing di Negara Brunei Darussalam.


Dalam sektor pembinaan tambah Yang Berhormat, lebih kurang rationya, 80% adalah orang luar negeri dan 20% orang tempatan. Sektor Pembinaan, Sektor Runcit dan Borong ini berasaskan kepada impaknya kepada jumlah pekerja asing yang tinggi.


Yang Berhormat seterusnya mengongsikan, terdapat 22,510 pekerja asing di Sektor Pembinaan dan 11,569 orang pekerja asing di Sektor Runcit dan Borong yang direkodkan di Jabatan Buruh berasaskan Labour Census 2017.


Jadi, ini kita harap akan dilaksanakan setelah mengadakan perbincangan-perbincangan yang selanjutnya dengan sektor-sektor yang tertentu yang juga diharapkan akan dapat mengurangkan kehadiran pekerja-pekerja asing di negara ini.



Close