Manage PermissionsManage Permissions

KHEDN terus laksanakan inisiatif-inisiatif strategic



Laporan : Hajah Zabaidah Haji Salat \ Foto : Masri Osman, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac. - Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) menggariskan beberapa inisiatif untuk dilaksanakan bagi Perbelanjaan Tahun Kewangan 2019/2020, antaranya ialah meningkatkan keberkesanan pengutipan hasil kerajaan; Pembangunan prasarana ke arah meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan kepada rakyat serta penduduk; Meningkatkan mutu perkhidmatan kepada orang ramai, khasnya ke arah memudahcara proses perniagaan dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem perniagaan dan pelaburan.


Selain itu, KHEDN juga akan terus mewujudkan masyarakat yang berdisiplin yang diharap akan turut membantu kepada meningkatkan keberkesanan pelaksanaan inisiatif-inisiatif kerajaan, seperti menjaga alam sekitar dan seumpamanya dan seterusnya mengukuhkan dan memperkasa kepimpinan di peringkat akar umbi.


Perkara ini telah dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr). Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika memberikan Ucapan Mukadimah bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, di sesi petang, hari keempat Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-15 Majlis Mesyuarat Negara (MMN), di Dewan Persidangan MMN, di Bangunan Dewan Majlis, di sini.


Bagi tujuan itu, Yang Berhormat menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas perkenan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyediakan satu Anggaran Perbelanjaan bagi Tahun Kewangan 2019/2020 berjumlah BND5,860,000,000.00. iaitu bertambah sebanyak BND560 juta dan memperuntukkan Anggaran Perbelanjaan sejumlah BND131,240,030.00 bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).


Melalui sumber yang diperuntukkan itu, menurut Yang Berhormat, KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, akan terus menumpukan apa jua perancangan dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang selari dengan objektif strategik KHEDN, iaitu ke arah memelihara keselamatan dan kesejahteraan awam, memangkin pembangunan sosioekonomi dan memantapkan perpaduan masyarakat.


Perkara ini, tegas Yang Berhormat selaras dengan tema Belanjawan Tahun Kewangan 2019/2020, iaitu 'Pelaburan Untuk Masa Depan', di mana KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan yang tinggi dan menjana ekonomi yang maju, serta berdayatahan yang akan dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.



Close