Manage PermissionsManage Permissions

Undang-Undang Berjaja akan diperkenalkan



Laporan : Hajah Zabaidah Haji Salat \ Foto : Masri Osman, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 13 Mac. - Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan memperkenalkan perundangan bagi mengawal kegiatan berjaja iaitu Hawkers By Law, insyaaAllah pada pertengahan tahun ini.


Perkara ini penting dilaksanakan untuk meneliti dan memperkemaskan peraturan-peraturan yang sedia ada bagi mewujudkan ekosistem yang baik untuk kesejahteraan hidup di negara ini.


Demikian jelas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr). Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika membentangkan Ucapan Mukadimahnya bagi KHEDN pada hari keempat Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-15 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, di Bangunan Dewan Majlis, di sini.


Melalui undang-undang itu nanti, menurut Yang Berhormat, ianya bukan sahaja bagi memperkenalkan kadar denda bagi Akta Kesalahan Kecil Penggal 30, malah ianya juga membantu memelihara kebersihan dan memastikan kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan orang ramai serta alam sekitar terjamin.


Yang Berhormat juga menjelaskan bahawa ketika 'survey' dilakukan, ianya telah mendapatkan 'feedback'  yang baik dari orang ramai dan secara keseluruhan mendapat respons yang positif.


Melaluinya juga jelas Yang Berhormat, usaha memudahcara perniagaan akan dapat dilaksanakan, manakala kementerian sendiri akan sentiasa memastikan bahawa perkhidmatan yang diberikan adalah efisien dan cepat, yang bukan saja bagi orang ramai malah bagi menarik pelabur-pelabur asing. Di mana secara tidak langsung, dapat membantu mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak tempatan.


Perkara ini, menurut Yang Berhormat, adalah bertepatan dengan saranan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Hari Perkhidmatan Awam pada 31 Oktober 2018, di mana baginda mahu Perkhidmatan Awam akan meneroka pendekatan lebih berkesan dalam tugasnya memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan negara. 



Close