Manage PermissionsManage Permissions

Mewujudkan masyarakat bersiap siaga hadapi bencana



Laporan : Hajah Zabaidah Haji Salat \ Foto : Masri Osman, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac. - Dalam usaha memastikan penduduk dan rakyat Negara Brunei Darussalam sentiasa bersedia apabila berdepanan dengan kejadian bencana, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) bersama beberapa agensi yang berkepentingan akan melaksanakan beberapa inisiatif di antaranya seperti Talk Program on Tremor Preparedness pada suku tahun 2019 dan akan mengadakan satu 'national table top exercise' khusus bagi menangani bencana berbentuk gegaran, gempa bumi dan tsunami pada bulan September 2019.


Setakat ini NDMC telah membukakan dan mengendalikan tiga belas (13) kursus-kursus di bawah 'Safety and Emergency Management' dan lebih 2,000 orang peserta telah dilatih.


Perkara tersebut telah dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika menyampaikan Ucapan Mukadimah bagi KHEDN pada hari keempat Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-15 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, di Bangunan Dewan Majlis, di sini.


Menurut Yang Berhormat, NDMC  juga akan terus merebiu modul pembelajaran Community Based Disaster Risk Management dengan kerjasama pihak CAE Brunei Multipurpose Training Centre dengan pengisian modul-modul baharu jika didapati bersesuaian dan bertepatan selari dengan amalan-amalan terbaik dan mengikut piawaian antarabangsa.


Manakala di peringkat kampung pula, seramai 309 penduduk dari keempat-empat daerah telah mengikuti kursus Community Based Disaster Risk Management (CBDRM).


Bagi tahun 2019 ini, menurut Yang Berhormat, NDMC akan terus menggiatkan lagi penglibatan masyarakat di peringkat kampung dengan menjangkakan penyertaan sebanyak 20 buah mukim seluruh negara sehingga penghujung tahun ini, iaitu tambahan kepada 35 buah kampung daripada 17 buah mukim yang telah mengikuti program asas CBDRM sebelum ini.


Walau bagaimanapun, inisiatif ke arah mewujudkan masyarakat yang sentiasa bersedia menghadapi bencana perlu dimulakan di peringkat kanak-kanak dan belia-belia. Untuk itu, NDMC telah melaksanakan School Based Disaster Risk Management (SBDRM) di CAE-Brunei MPTC, tegas Yang Berhormat.


''Program ini akan dilaratkan lagi ke beberapa buah sekolah dan pusat pengajian tinggi di seluruh negara pada bulan Ogos dan Oktober ini nanti, insyaaAllah. Manakala Program CBDRM juga telah dijadikan modul tetap dalam latihan Program Khidmat Bakti Negara, jelas Yang Berhormat.


Walau bagaimapun, tegas Yang Berhormat, pembarigaan, jerayawara dan pendidikan juga memainkan peranan penting di dalam meningkatkan dan mengukuhkan kesiapsediaan dan  ketahanan kebangsaan. Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat khususnya mengenai bahayanya kebakaran, bagi tahun 2019/2020 akan meningkatkan kekerapan aktiviti perhubungan awam dengan melaksanakan 15 taklimat keselamatan, lima kursus fire marshal dan 10 fire drill setiap bulan, manakala jerayawara setiap tiga bulan.


Yang Berhormat menjelaskan bahawa Jabatan Bomba juga merancang untuk menyediakan kaji selidik umum bagi mengukur keberkesanan program secara berkala, di mana pada tahun 2018 sahaja terdapat 1,853 orang dilatih menjadi fire marshal dan terdapat tiga kes di mana orang ramai yang telah dilatih dapat mengendalikan kebakaran sebelum pihak Jabatan Bomba sampai ke tempat kejadian.



Close