Manage PermissionsManage Permissions

BND692,192.00 hasil produk 1K1P




Laporan : Hajah Zabaidah Haji Salat \ Foto : Masri Osman, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac. - Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menjelaskan bahawa untuk memajukan sektor perekonomian di kalangan penduduk kampung, KHEDN secara berterusan bekerjasama dengan agensi yang berkepentingan khususnya memajukan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) telah berhasil penjualan produk-produk 1K1P bagi keempat-empat daerah pada tahun 2018 sebanyak BND692,196.00.


Bagi terus memajukan 1K1P beberapa inisiatif telah dirangka akan dijalankan pada tahun 2019, iaitu melalui Satu Memorandum of Understanding dengan pihak Community Development Department (CDD) Ministry of Interior Thailand bagi mendatangkan tenaga-tenaga pakar One Tambon One Product (OTOP) untuk berkongsi pengalaman dan membantu pengurusan serta pengeluaran produk-produk 1K1P agar dapat bersaing di peringkat yang lebih tinggi.


Yang Berhormat menjelaskan demikian ketika menyampaikan ucapan mukadimah bagi KHEDN pada hari keempat Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-15 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, di Bangunan Dewan Majlis, di sini.


Dalam masa yang sama juga, jelas Yang Berhormat kementeriannya sedang meningkatkan penyertaan masyarakat melalui Pendaftaran Usahawan Kampung bagi mengenal pasti pengusaha dan perusahaan kampung yang berpotensi untuk dikembang maju dan seterusnya diangkat sebagai projek 1K1P Negara Brunei Darussalam.


Di samping itu, bagi memastikan kesejahteraan penduduk-penduduk, satu program Satu Kampung Satu Keluarga (1K1K) telah dirangka, sebagai salah satu usaha Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) untuk mengurangkan masalah–masalah sosial khususnya berkaitan dengan isu kemiskinan.


Secara amnya, menurut Yang Berhormat, keluarga-keluarga yang telah dikenal pasti tidak semata-mata akan dibantu dari segi kewangan tetapi bantuan merangkumi pelbagai aspek tertakluk kepada kriteria dan kategori keluarga-keluarga tersebut.


Sehingga kini, beberapa program telah dikenal pasti untuk membantu keluarga-keluarga yang terlibat dengan kerjasama sektor swasta dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO, jelas Yang Berhormat.


Close