Manage PermissionsManage Permissions

Penjagaan penghuni warga emas diutamakan



Laporan : Ak. Jefferi Pg Durahman / Foto : Hernie Suliana Haji Othman, Mohd. Sahrizal Haji Said

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 14 Mac. - Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menjelaskan sehingga 13 Mac 2019, seramai 21 orang penghuni penjara warga emas daripada keseluruhan jumlah penghuni penjara, iaitu 12 orang di Penjara Maraburong fasa 1; dan 5 orang di Penjara Maraburong fasa 3, iaitu lelaki, juga 4 orang di penjara wanita.

 

Menyentuh mengenai program-program yang dijalankan di institusi-institusi penjara, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menjelaskan, dari segi program mereka ini mengikuti program pemulihan fizikal, termasuk bersukan dan bersenam mengikut jadual harian.

 

Perkara ini dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri sewaktu menjawap soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad mengenai dengan jumlah penghuni penjara warga emas dan mengenai dengan program yang disediakan untuk mereka yang bersesuaian dengan kemampuan mereka dari segi mental, fizikal dan spiritual pada hari kelima Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-15 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, sesi petang.

 

Yang Berhormat Menteri seterusnya menyatakan, antara program yang dijalankan juga berupa pemulihan kerohanian atau spiritual yang merangkumi kegiatan keagamaan seperti pendidikan agama Islam, termasuk menghafaz Al-Quran, sembahyang fardu lima waktu dan pada bulan Ramadan akan mengikuti Sembahyang Tarawih dan bertadarus.

 

Tambah Yang Berhormat Menteri, terdapat juga program pemulihan psikologi bagi bimbingan dan motivasi penghuni berkenaan, iaitu kaunseling individu dan kaunseling kelompok, walau bagaimanapun, bagi penghuni warga emas yang mengalami masalah kesihatan, penyertaan mereka dalam mana-mana program pemulihan yang telah digariskan, terutama dalam mengikuti program vokasional adalah tertakluk kepada tahap kesihatan hasil pemeriksaan dan pengesahan daripada pegawai kesihatan.

 

Penjagaan penghuni warga emas, ujar Yang Berhormat Menteri juga diutamakan dari segi perubatan dan pemakanan dengan mengambil kira jua akan 'limitation' dan keadaan mereka, pada misalannya, pihak institusi penjara ada menyediakan peruntukan makanan mudah dikunyah (soft diet), khusus bagi banduan warga emas dan dalam masa yang sama pemeriksaan kesihatan ke atas mereka kerap dijalankan oleh pegawai perubatan secara berjadual bagi memastikan keadaan fizikal dan mental mereka sentiasa terjaga sepanjang menjalani tempoh hukuman di institusi-institusi penjara.

 


Close