Manage PermissionsManage Permissions

Khatam Al-Quran semarak Ramadan



Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Mei. - Dalam menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini, Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan (JPK) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa Tahun 2019 bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar.

 

Majlis yang dihadiri seramai 120 jururawat dari JPK itu didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan, disusuli dengan bacaan Takhtim beramai-ramai.

 

Majlis turut diserikan dengan bacaan Dikir Marhaban sempena meraikan pengislaman empat orang saudara baharu dari warga Perkhidmatan Kejururawatan iaitu Awang Muhammad Rayyan Zahwan bin Muhammad Hamzi Hafiz, Awang Muhammad Amirul Amirizan bin Moksin, Awang Muhammad Bon Al-Hakeem bin Abdullah Paduata dan Dayang Arisha Maria binti Muhammad Melayong.

 

Diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada saudara-saudara baharu dan penyampaian derma kepada 33 orang anak-anak yatim dari JPK yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

 

Majlis diakhiri dengan Doa Khas dan Doa Selamat sempena Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa bagi Tahun 2019 yang dibacakan oleh Ketua Unit Perkhidmatan Ugama Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Haji Nor Asilin bin Haji Puting.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Abdul Manap bin Othman; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr. Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin;  Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Md. Khalifah bin Pengiran Haji Ismail; Pengarah-pengarah; pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.



Close