Manage PermissionsManage Permissions

Tadarus Al-Quran bergema di Masjid SSBRIPAD



Oleh : Khartini Hamir / Foto : Masri Osman

 




MADANG, Selasa, 14 Mei. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan-jabatan di bawahnya meneruskan lagi Majlis Tadarus Al-Quran petang tadi di Masjid Suri Seri Begawan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SSBRIPAD), Kampung Manggis/Madang.

 

Hadir pada majlis tersebut, Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid; dan Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.

 

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Ugama Islam; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah; Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah; Juruaudit Agung; Setiausaha-setiausaha Tetap; Ketua-ketua Jabatan serta pegawai-pegawai dan kakitangan JPM dan Jabatan-jabatan di bawahnya.

 

Acara terdahulunya dimulakan dengan penyampaian sumbangan wakaf yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM kepada Imam Masjid SSBRIPAD, Awang Haji Jofri bin Haji Abidin.

 

Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan Tadarus Al-Quran dan diselajurkan dengan bacaan Doa Selamat, diikuti dengan Solat Fardu Asar berjemaah.

 

Majlis merupakan kelolaan bersama Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan di JPM; Pasukan Polis Diraja Brunei; Biro Mencegah Rasuah; Jabatan Keselamatan Dalam Negeri; Biro Kawalan Narkotik dan Jabatan Penyelidikan Brunei dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRIPAD.

 

Majlis Tadarus Al-Quran dan Berbuka Puasa bagi JPM dan Jabatan-jabatan di bawahnya akan diteruskan lagi pada Khamis ini, 16 Mei 2019 bertempat di Masjid Ash-Shaliheen, JPM.

 


Close