Manage PermissionsManage Permissions

Tanamkan sifat Qana'ah



Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Mei. - Kehidupan berumah tangga atau berkeluarga setentunya menjalani dan menempuhinya dengan rasa manis, pahit dan sebagainya dan rasa kemanisan itu lebih nikmat apabila perkara yang berat dan rumit berjaya diatasi bersama.


Begitu pula, ada perkara kecil dan remeh yang timbul dalam rumah tangga, jika tidak berjaya diselesaikan dengan baik oleh keluarga akan menyebabkan kita merasa pahit, bahkan menyebabkan kita rasa kecewa dan putus asa.


''Lebih menyeksakan ialah apabila kita gagal menangani perkara kecil itu dan membawa kepada keruntuhan rumah tangga dan keluarga. Demikian asam garam hidup berkeluarga,''  Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin menyatakan demikian  semasa menyampaikan Ceramah Khas Sempena Awal Ramadan 1440 Hijrah dan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2019 Masihi berlangsung di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) di sini.


Dalam ceramahnya bertajuk 'Keluargaku Harapanku', Dato Seri Setia Dr. Haji Japar juga menjelaskan beberapa faktor yang menyebabkan kebahagiaan rumah tangga atau hidup berkeluarga itu hilang atau sukar dikecapi, antaranya kurang kesefahaman suami isteri, terjadi pertengkaran atau pergaduhan yang membawa kepada rasa dendam antara anak dengan orang tuanya atau sesama adik-beradik.


Faktor-faktor lain, jelasnya, termasuklah nikah yang terpaksa, terlibat dengan pengaruh dadah dan tidak kurang juga disebabkan oleh kegagalan suami menunaikan nafkah keluarga kerana tidak ada perancangan kewangan yang baik, terutama apabila dibelenggu oleh hutang disebabkan nilai perbelanjaan tidak seimbang dengan pendapatan.


Tidak dinafikan bahawa ada kalanya berhutang itu sebagai salah satu jalan untuk menyelesaikan permasalahan hidup yang dilanda kesempitan seperti ketidakcukupan pendapatan untuk mengendalikan hidup berkeluarga kekurangan wang untuk membeli makanan, pakaian dan seumpamanya. Seolah-olah berhutang itu sebagai jalan penyelamat dalam mendapatkan sesuatu yang benar-benar diperlukan.


Sekalipun berhutang itu dibenarkan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar seterusnya menegaskan, ia sememangnya perkara yang tidak digalakkan dalam Islam kerana adanya perkara-perkara  yang disebut sebagai risiko berhutang, terutamanya cacian terhadap orang yang berhutang dan kesudahan yang buruk bagi mereka yang tidak melunaskan hutangnya.


Tambahnya, apabila tindakan berhutang itu tidak dapat dikendalikan secara bijaksana, maka hutang itu akan menimbulkan kegelisahan dalam kehidupan.


Untuk mengelak diri dari terus dilanda hutang dan mengatasi kesempitan hidup, ujarnya, Islam menunjukkan beberapa jalan yang boleh melepaskan diri antaranya sabar terhadap dugaan hidup dan menanamkan dalam diri akan sifat Qana'ah.


Selain sifat Qana'ah, tegasnya, kita perlu sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan mentaati segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya supaya dengan demikian segala pintu-pintu rezeki akan terbuka dan kita terlepas dari kesempitan hidup berkeluarga.


Hadir mendengarkan ceramah khas tersebut, Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.


Juga hadir, Pemangku Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Saidah binti haji Wahid; Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.


Terdahulu, Pengarah Pusat Kajian Fiqh al-Usrah, KUPI SB, Dayang Hajah Aisyah Radhiah binti Haji Ghani dalam ucapan alu-aluan berharap ceramah khas tersebut dapat menjentik momentum berkeluarga pada bulan Ramadan dan istiqamah di luar bulan Ramadan serta dapat mengemukakan peranan institusi keluarga dan ciri-ciri keluarga bahagia dan penyayang berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah bagi melahirkan generasi berwawasan yang cemerlang.


Majlis diselajurkan dengan pemberian sumbangan 'Keluarga Al-Rahmah' kepada seramai 21 keluarga yang terdiri daripada warga KUPU SB yang berpendapatan rendah dan memerlukan bantuan.


Objektif acara yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, KUPU SB itu adalah bagi mengemukakan peranan institusi keluarga dan ciri-ciri keluarga teladan berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah bagi melahirkan generasi yang cemerlang dan juga keutamaan ibadat bersama keluarga berlandaskan hujah-hujah ilmiah yang bernas.



Close