Manage PermissionsManage Permissions

BYLC 6 hingga 8 Ogos



Oleh : Haniza Abdul Latif \ Foto : Azmah Haji Ahad

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Mei. - Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (Brunei Young Leaders Convention - BYLC) 2019 dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Ogos 2019 nanti.

 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad yang juga selaku pengerusi BYLC 2019 semasa Sidang Media mengenai konvensyen tersebut di Dewan Silaturrahim, Pusat Belia, di sini.

 

Menurut Yang Berhormat, BYLC 2019 dihasrat untuk menyatupadukan agensi-agensi yang berkepentingan dengan para belia di negara ini, di samping untuk menyampaikan maklumat-maklumat yang tepat dan terkini.

 

Tambahnya, konvensyen tersebut juga menyediakan platform untuk mengungkayahkan program-program dan projek-projek yang akan dapat membantu mencapai Wawasan Brunei 2035.

 

BYLC 2019 jelasnya, merupakan anjuran tiga gabungan usahawan muda tempatan, iaitu Perspective Insan Academy, Al-Huffaz Management dan Generasi Bekarih, akan mendatangkan beberapa pakar dari pelbagai bidang terdiri daripada para belia tempatan bagi mengongsikan pengalaman-pengalaman dan memberi tunjuk ajar sepanjang BYLC 2019 diadakan.

 

Konvensyen tersebut merupakan sebuah platform untuk sama-sama memobilisasikan para belia supaya mempunyai perasaan kebersamaan dan kepunyaan juga memainkan peranan aktif dalam mencapai Wawasan Brunei 2035, iaitu Rakyat Yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya; Kualiti Kehidupan Rakyat Yang Tinggi; dan Ekonomi Dinamik dan Berdaya Tahan.

 

Seperti tahun sebelumnya, konvensyen kali ini membawakan moto B.E.L.I.A, iaitu Believe yang bererti percaya akan kemampuan belia dalam mencapai Wawasan Negara 2035; Empower, iaitu menyokong, membimbing dan menasihati; Lead, iaitu memimpin belia untuk membuat perubahan positif dalam mencapai sasaran; Inspire bererti dorongan mentor dari segi pengalaman dan penglibatan untuk kedayatahanan kepimpinan; dan Act, iaitu tindakan yang perlu diambil oleh para belia untuk mengungkayahkan program dan projek selaras dengan Wawasan Negara 2035.

 

Seramai 200 orang pemimpin muda yang terdiri daripada belia majlis perwakilan pelajar, penuntut cemerlang, pertubuhan bukan kerajaan, graduan dan pencari pekerjaan, eksekutif muda juga belia cemerlang dalam bidang masing-masing dijangka hadir semasa konvensyen itu nanti.

 

Sepanjang konvensyen tersebut, para pemimpin belia yang hadir akan berpeluang untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Wawasan Brunei 2035, membina rangkaian kerja dan berinteraksi bersama mentor terpilih melalui forum yang membawakan topik berkaitan dengan Wawasan Brunei 2035 juga menimba ilmu mengenai pelaksanaan projek.

 

Pendaftaran bagi menyertai konvensyen tersebut akan dibukakan mulai 16 Mei hingga 13 Julai 2019 melalui laman sesawang 'www.bylconvention.com' dan untuk maklumat lanjut bolehlah melayari laman sesawang tersebut atau melalui laman sosial Instagram / Facebook / Twitter : '@bylconvention'.



Close