Manage PermissionsManage Permissions

Kalah dengan kiraan agregat, 2 - 3



Oleh : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah

 

 



BERAKAS, Selasa, 11 Jun. - Skuad Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kalah di tangan pasukan Mongolia dengan kiraan agregat, 2 - 3 pada Perlawanan Peringkat Kelayakan Pusingan 1, Piala Dunia FIFA 2022 Qatar dan Piala Asia AFC 2023 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

 

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut.

 

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD).

 

Juga berangkat, anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.

 

Semasa perlawanan tersebut, pasukan tuan rumah yang ketinggalan dengan kiraan agregat, 0 - 2 susulan daripada perlawanan yang berlangsung di Mongolia minggu lalu bermain dengan baik setelah berjaya mengawal permainan dan berhasil membolos gawang lawan pada minit ke-4 menerusi Razimie Ramlli untuk mendahului perlawanan dengan jaringan, 1 - 0.

 

Permainan cemerlang yang dipamerkan oleh Razimie Ramlli terus menghantui para pemain pasukan Mongolia apabila beliau sekali lagi berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-34 untuk membolehkan pasukan negara mendahului dengan jaringan, 2 - 0, seterusnya menyamakan kiraan agregat, 2 - 2 sehingga wisel separuh masa pertama ditiupkan.

 

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun nasib lebih berpihak kepada pasukan Mongolia apabila pengadil menganugerahkan sepakan penalti yang digunakan sebaiknya oleh Tsedenbal Norjmoo untuk merapatkan jaringan perlawanan pada minit ke-47 menjadi, 2 - 1.

 

Keputusan perlawanan, 2 - 1 kekal sehingga wisel penamat, yang mana pasukan Mongolia berjaya menewaskan pasukan negara dengan kiraan agregat, 2 - 3, seterusnya melayakkan mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.

 


Close