Manage PermissionsManage Permissions

26 bakal haji KHEDN dirai



Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad \ Foto : Azmah Haji Ahad

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 10 Julai. - Majlis Doa Selamat bagi Bakal Jemaah Haji Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan-jabatan di bawahnya bagi musim Haji Tahun 1440H / 2019M telah diadakan di Surau Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, di ibu negara, petang tadi.

 

Hadir pada majlis tersebut, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

 

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah dan diteruskan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan Doa Selamat.

 

Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada bakal-bakal jemaah haji yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

 

Pada tahun ini, seramai 26 pegawai dan kakitangan KHEDN dan Jabatan-jabatan di bawahnya akan menunaikan ibadah haji iaitu seorang masing-masing dari KHEDN; Jabatan Daerah Belait; Jabatan Daerah Tutong; Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria; Jabatan Bandaran Tutong; tiga orang dari Jabatan Daerah Brunei dan Muara; tiga orang dari Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan; tujuh orang dari Jabatan Bomba dan Penyelamat; enam orang dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan; dan dua orang dari Jabatan Penjara.

 

Majlis merupakan salah satu aktiviti KHEDN yang bertujuan untuk memohon keberkatan dari Allah Subhanahu Wata’ala agar bakal jemaah haji mendapat perlindungan, keselamatan, dipermudahkan urusan serta beroleh haji mabrur.

 

Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan kementerian berkenaan serta para jemputan.



Close