Manage PermissionsManage Permissions

Tahap sara diri bekalan daging dijangka meningkat



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman \ Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





TUTONG, Rabu, 10 Julai. - Menjelang tahun 2020, pengeluaran sumber daging tempatan ke arah meningkatkan tahap sara diri bekalan daging dalam negara dijangka akan meningkat dengan terlaksananya Kaedah Sistem Fidlot (feedlot system) bagi aktiviti penternakan lembu yang diusahakan oleh Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd., di atas tanah projek di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Batang Mitus Mukim Kiudang, Daerah Tutong.


Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah memperuntukkan tanah seluas 55 hektar di Kawasan Kemajuan Pertanian Batang Mitus, Daerah Tutong kepada Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd., bagi tujuan membesarkan aktiviti penternakan lembu yang sedang diusahakan ketika ini secara kaedah sistem fidlot dan untuk meningkatkan tahap sara diri bekalan daging dalam negara.


Sehubungan itu, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong telah membuat lawatan ke tapak projek berkenaan.


Semasa lawatan tersebut, Yang Berhormat Menteri turut mendengarkan penerangan daripada Pengarah Urusan PDS Abattoir Sdn. Bhd., Lee Kheng Hua.


Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd., adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan ("GLC"), di mana Darussalam Assets Sdn. Bhd. adalah pemegang saham majoriti. Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd. pada masa ini dalam proses pembinaan sebuah fidlot dan penanaman 'napier grass' di atas tapak seluas 55 hektar di negara ini.


Syarikat tersebut mula beroperasi sejak tahun 1996 di Kawasan Kemajuan Pertanian Batang Mitus di kawasan seluas dua hektar. Pada masa ini, kapasiti keluaran Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd. adalah di antara 3,000 - 4,000 ekor setahun.


Fidlot tersebut juga akan dapat membantu mengurangkan kos yang membawa manfaat kepada pelanggan-pelanggan untuk mendapat akses kepada daging yang lebih berkualiti dan segar di Negara Brunei Darussalam.


Di samping itu, Fidlot ini juga akan membantu Syarikat PDS untuk menjadi lebih berdaya saing di dalam dan di luar negeri dan berpotensi untuk menembusi pasaran luar negara.


Syarikat berkenaan juga merupakan syarikat penyumbang terbesar dalam keluaran kasar bagi industri daging lembu di negara ini, di mana secara keseluruhan keluaran kasar bagi industri daging lembu tempatan bagi tahun 2018 adalah dianggarkan bernilai BND21.48 juta.


Melalui peruntukan tanah seluas 55 hektar ini, Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd. akan mengembang majukan lagi aktivitinya pada masa ini untuk meningkatkan keluaran kepada 7,000 ekor setahun menjelang tahun 2020 melalui Kaedah Sistem Fidlot (feedlot system).


Kaedah Sistem Fidlot ini adalah kaedah penternakan lembu dalam kandang yang terkawal yang mana ternakan yang berumur di bawah satu tahun akan diimport dan digemukkan dalam tempoh 2 - 3 bulan (100 hari).


Proses penggemukan adalah termasuk pemberian rumput (fodder) yang cukup dan makanan ternakan tambahan 'supplement' atau konsentrat bagi mempercepatkan peningkatan berat badan.


Pelaksanaan Projek Fidlot ini akan dilaksanakan secara 2 Fasa di mana pada Fasa Pertama, Fidlot ini akan dibiayai melalui pinjaman iaitu 'third party financing' bernilai BND7 juta yang telah diperoleh daripada bank tempatan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan dijangka akan membuat pelaburan untuk pembinaan dua buah kandang lembu dan penanaman rumput. Penambahan pembinaan sebanyak empat buah kandang lembu akan dimulakan pada Fasa Kedua.


Adalah diharapkan melalui projek ini, ianya akan dapat menyumbang kepada penjanaan peluang-peluang pekerjaan kepada warga tempatan serta peningkatan pengeluaran sumber daging tempatan untuk meningkatkan sara diri bekalan bagi daging lembu; memastikan bekalan daging halal dan bersih kepada pengguna tempatan terjamin dan membantu menstabilkan harga penjualan daging-daging di pasaran tempatan.


Di samping itu, inisiatif ini akan dapat membantu mengurangkan keperluan daging import dan seterusnya akan mengeliminasi risiko kesihatan dari daging import dari negara-negara risiko penyakit Bovine Spongiform Encephalopathy ('BSE') dan Food and Mouth Disease ('FMD').


Melalui peningkatan pengeluaran sumber daging tempatan, ianya akan memberikan ruang bagi penjanaan industri-industri hiliran termasuk pusat pemprosesan produk daging, pembungkusan dan perkhidmatan kawalan kualiti serta potensi untuk menembusi pasaran eksport.


Di samping itu, dengan mendapatkan 'financing' daripada bank-bank yang beroperasi di Brunei, nilai kepada ekonomi akan bertambah dan pada masa yang sama membangunkan dan mempelbagaikan lagi ekonomi negara.



Close