Manage PermissionsManage Permissions

Peruntukan 55 hektar besarkan aktiviti penternakan lembu




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman \ Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BERAKAS, Rabu, 10 Julai. - Ke arah meningkatkan kapasiti keluaran daging lembu di Negara Brunei Darussalam, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah memperuntukkan tanah seluas 55 hektar di Kawasan Kemajuan Pertanian Batang Mitus, Daerah Tutong kepada Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd., bagi tujuan membesarkan aktiviti penternakan lembu yang sedang diusahakan ketika ini secara kaedah sistem fidlot di samping untuk meningkatkan tahap sara diri bekalan daging dalam negara.


Sehubungan itu, satu Majlis Penandatanganan Perjanjian Penyewaan Tanah di Kawasan Kemajuan Pertanian Batang Mitus, Dearah Tutong di antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KSSUP bersama Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd., diadakan di Dewan Setia Pahlawan, Bangunan MPRT, di sini.


Hadir menyaksikan Majlis Penandatanganan tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Darussalam Assets Sdn. Bhd.


Menandatangani perjanjian bagi pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan ialah Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Hajah Aidah binti Haji Mohd. Hanifah dan disaksikan oleh Ketua Bahagian Industri Ternakan, Dr. Dayang Hajah Kasumawati binti Haji Mohd. Jaafar sementara Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd., diwakili oleh Pengarah Urusan syarikat berkenaan Awang Lee Kheng Hua dan disaksikan oleh Pengurus Pentadbiran PDS Abbattoir Sdn. Bhd., Dayang Haslindah binti Hamid.


Majlis Penandatanganan perjanjian berkenaan disusuli dengan sesi lawatan tapak projek di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Batang Mitus Mukim Kiudang, Daerah Tutong di sebelah petang.


Tapak projek tersebut pada masa ini telah ditanam rumput 'fodder' bagi persiapan untuk makanan ternakan lembu yang akan diimport.


Turut hadir pada Majlis Penandatanganan tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin yang juga selaku Pengarah Darussalam Assets Sdn. Bhd; Setiausaha Tetap (Pelaburan), Kementerian Kewangan dan Ekonomi Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid yang juga selaku Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Assets Sdn. Bhd; Pemangku Setiausaha Tetap, KSSUP, Awang Haji Abdul Halidi bin Mohd Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali serta para pegawai kanan dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Darussalam Assets Sdn. Bhd.; Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd. dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).


Close