Manage PermissionsManage Permissions

RB lancar penerbangan semula ke Brisbane




Berita dan Foto : Mohamad Azmi Awang Damit





BERAKAS, Rabu, 10 Julai. - Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) meraikan satu lagi pencapaian dalam rangkaian perkhidmatan penerbangannya dengan pelancaran semula penerbangan ke Brisbane, Australia pada satu majlis yang berlangsung di Kampus RB.


Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pelancaran tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Pengarah RB.


''Ini adalah merupakan peristiwa penting yang sangat membanggakan dan usaha strategik RB menerusi perkembangan rangkaian perkhidmatannya yang telah bermula sejak tahun 2018,'' jelas Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand dalam ucapan alu-aluan di majlis tersebut.


Jelasnya lagi, rangkaian perkhidmatan baru ini akan memudahkan para pelanggan RB untuk menikmati perjalanan yang lebih lancar dan mudah terutamanya pelanggan daripada United Kingdom, Arab Saudi, Asia Tenggara dan Asia melalui Brisbane.


''RB sebagai syarikat penerbangan muda di dunia akan terus berusaha untuk memberikan pengalaman yang terbaik bagi pelanggan-pelanggannya dengan perkhidmatan bertaraf antarabangsa dan pesawat terkini A320Neo,'' tambahnya.


Dengan laluan terbaru berkenaan, ia juga membuka pasaran baharu khususnya kepada rakyat Australia untuk menggunakan RB bagi penerbangan tanpa henti ke London yang kini semakin digemari dan begitu juga sebaliknya, pelanggan di London berpeluang untuk menggunakan rangkaian laluan baharu ini untuk melancong ke Australia dengan pelbagai tarikan pelancongan di bandar Brisbane.


RB telah menyelaraskan pelan perniagaannya untuk menyokong strategi kepelbagaian ekonomi selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dengan merekodkan peningkatan ketibaan pelancong sebanyak 7.4 peratus dengan rekod 258,955 orang pelancong pada tahun 2017 kepada 278,136 pelancong pada tahun 2018.


Pada tahun 2018, pelancong daripada Australia telah meningkat sebanyak 12.8 peratus dan dengan pengenalan penerbangan tanpa henti RB ke bandar ketiga terbesar di Australia ini diharap akan dapat membantu RB mencapai sasaran 500,000 pelancong ke Brunei menjelang tahun 2021.

 

Penerbangan empat kali RB ke Brisbane akan beroperasi menggunakan pesawat baru A320Neo RB bermula hari ini.


Close